TREVOR Jacob ketika terjun dengan pesawat itu. FOTO Trevor Jacon/YouTube
TREVOR Jacob ketika terjun dengan pesawat itu. FOTO Trevor Jacon/YouTube
AFP

Los Angeles: Seorang juruterbang di Amerika Syarikat (AS) dipenjara selama enam bulan selepas 'berani mati' dengan sengaja membuatkan pesawatnya terhempas bagi meraih tontonan di saluran YouTube.

Trevor Jacob juga berbohong kepada penyiasat susulan nahas itu sebelum mengaku melakukan perbuatannya, kata pihak berkuasa AS pada Isnin lalu.

Dalam video bertajuk I crashed my airplane, pesawat dipandu Jacob nampaknya mengalami masalah enjin ketika terbang melintasi selatan California pada November 2021.

Rakaman dramatik itu meraih jutaan tontonan di YouTube.

Ia menunjukkan Jacob yang kini berusia 30 tahun, terjun dengan menggunakan payung terjun dari pesawat bersama-sama dengan monopod sebelum mendarat di Hutan Negara Los Padres.

Kamera yang diletakkan di seluruh pesawat menunjukkan ia berputar di luar kawalan, sebelum terhempas.

Jacob, bekas pemain snowboard Olimpik, merakamkan dirinya pergi ke kawasan bangkai pesawat dan mendapati air yang dibawanya ketika menaiki pesawat itu, sudah hilang.

Beberapa minggu selepas kejadian itu, penyiasat dari Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan dan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) melancarkan siasatan ke atas nahas itu, dan Jacob diarahkan untuk memelihara bangkai pesawat.

YouTuber itu pada mulanya memberitahu pegawai bahawa dia tidak tahu ke mana pesawat itu terhempas.

"Pada 10 Disember 2021, Jacob dan seorang rakan terbang dengan helikopter ke tapak nahas.

"Di sana, Jacob menggunakan tali untuk mengambil serpihan, yang diangkat oleh helikopter dan dibawa ke Rancho Sisquoc di Santa Barbara County, di mana ia dimuatkan ke treler yang dipasang pada trak pikap Jacob," kata Pejabat Peguam Daerah AS untuk Daerah Tengah California, pada Isnin.

Serpihan pesawat enjin tunggal itu dipotong menjadi kepingan kecil dan dibuang ke dalam tong sampah di dalam dan sekitar Lapangan Terbang Lompoc City, California, dalam usaha untuk menyembunyikan bukti nahas.

Sementara itu, FAA, badan yang mengawal selia penerbangan di AS menarik lesen juruterbang Jacob, pada April tahun lalu.

Jacob akhirnya mengaku bersalah atas satu pertuduhan pemusnahan dan menyembunyikan dengan niat untuk menghalang penyiasatan kes persekutuan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Disember 2023 @ 12:24 PM