FOTO fail menunjukkan kapal kargo Galaxy Leader yang dirampas pemberontak Houthi. FOTO AFP
FOTO fail menunjukkan kapal kargo Galaxy Leader yang dirampas pemberontak Houthi. FOTO AFP
Reuters

Washington: Tentera Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan balas peluru berpandu balistik antikapal baharu, di Yaman, selepas pemberontak Houthi menyerang kapal milik Greece di Laut Merah, semalam.

Sebuah kapal pengangkut milik Greece yang berbendera Malta terkena peluru berpandu dari arah utara di Laut Merah kira-kira 122 kilometer (km) ke barat laut pelabuhan Saleef di Yaman, kata firma keselamatan dan dua sumber Kementerian Perkapalan Greece.

Menurut jurucakap tentera Houthi, Yahya Saria, puak Houthi di Yaman melakukan serangan ke atas kapal yang dikenali sebagai Zografia, menggunakan peluru berpandu tentera laut.

Zografia sedang belayar dari Vietnam ke Israel dengan 24 anak kapal, dan kargo kosong ketika ia diserang, kata salah seorang sumber di pihak Greece.

"Tiada kecederaan, hanya kerosakan dan kapal masih belayar tetapi mungkin akan mengubah laluan untuk pemeriksaan keselamatan," kata sumber itu.

Seorang eksekutif dari pengendali pelabuhan dan pengangkutan DP World berkata, gangguan kepada perkapalan di Laut Merah akibat serangan Houthi akan menaikkan harga barangan pengguna khususnya di Eropah, sekali gus meningkatkan kesan terhadap perdagangan.

Houthi yang bersekutu dengan Iran mengancam untuk memperluas serangannya dengan menyasarkan kapal-kapal AS pula sebagai tindak balas terhadap serangan AS dan United Kingdom (UK) ke atas pangkalannya di Yaman.

Serangan oleh Houthi ke atas kapal di wilayah itu sejak November mengakibatkan syarikat terjejas dan mencemaskan kuasa besar susulan perluasan perang di Gaza.

Houthi berkata, pihaknya bertindak sebagai solidariti dengan rakyat Palestin.

Premium insurans risiko perang untuk penghantaran melalui Laut Merah meningkat, kata sumber insurans semalam.

Di Sepanyol, empat kilang milik pembuat tayar Perancis, Michelin, merancang untuk menghentikan pengeluaran sekali lagi pada hujung minggu ini, satu lagi tanda kesan kelewatan dalam penghantaran bahan mentah.

Pelayaran kapal kontena kini dihentikan seketika atau melencong dari Laut Merah menuju ke Terusan Suez iaitu laluan pengangkutan terpantas dari Asia ke Eropah, sebaliknya banyak kapal terpaksa mengelilingi Tanjung Harapan di Afrika Selatan.

Kira-kira 12 peratus daripada penghantaran perkapalan dunia mengakses Terusan Suez melalui Laut Merah.

Kumpulan pemberontak Yaman itu mula menyerang kapal-kapal dagang di Laut Merah dan Teluk Aden sejak November lalu, sebagai tanda solidariti dengan penduduk Palestin di Gaza

Jumaat lalu, tentera AS dan UK melancarkan serangan balas ke atas lebih 60 sasaran Houthi dalam wilayah-wilayah yang dikuasai kumpulan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 January 2024 @ 11:14 AM