FOTO dikeluarkan Centcom menunjukkan kapal pengangkut M/V True Confidence milik Liberia, selepas terkena serangan berkenaan. FOTO Centcom / AFP)
FOTO dikeluarkan Centcom menunjukkan kapal pengangkut M/V True Confidence milik Liberia, selepas terkena serangan berkenaan. FOTO Centcom / AFP)
AFP

Dubai: Peluru berpandu dilancarkan oleh pemberontak Houthi mengenai kapal pengangkut di Teluk Aden pada Rabu, dengan anak kapal melaporkan tiga orang terbunuh dan sekurang-kurangnya empat cedera, kata tentera Amerika Syarikat (AS).

Kumpulan Houthi yang disokong Iran menyasarkan kapal dagang yang transit di laluan perdagangan Laut Merah selama berbulan-bulan

Sebelum ini, ia melancarkan serangan terhadap kapal di kawasan itu, tetapi kematian pada Rabu itu adalah kematian pertama akibat serangan sedemikian.

Peluru berpandu balistik antikapal mengenai M/V True Confidence milik Liberia yang berbendera Barbados. Selepas itu, krunya melaporkan "tiga maut, sekurang-kurangnya empat cedera, dengan tiga daripadanya dalam keadaan kritikal, dan kerosakan yang ketara pada kapal itu", menurut Komando Pusat AS (Centcom) dalam satu kenyataan.

"Kru meninggalkan kapal dan kapal perang pakatan bertindak balas dan sedang menilai keadaan", kata Centcom sambil menyatakan bahawa serangan itu adalah kali kelima Houthi melancarkan peluru berpandu balistik antikapal, dalam tempoh dua hari.

"Serangan melulu oleh Houthi ini mengganggu perdagangan global dan meragut nyawa pelaut antarabangsa", tambah Centcom.

Jurucakap tentera Houthi, Yahya Saree menerusi media sosial berkata, True Confidence disasarkan dengan pelbagai peluru berpandu "selepas anak kapal menolak mesej amaran" daripada Houthi.

Kedutaan United Kingdom (UK) di Sanaa sebelum ini berkata, sekurang-kurangnya dua orang maut, menyifatkan kehilangan nyawa sebagai "akibat menyedihkan tetapi tidak dapat dielakkan daripada Houthi menembak peluru berpandu secara melulu ke kapal antarabangsa."

Sementara itu, Setiausaha Luar UK David Cameron berjanji bahawa "kami akan terus mempertahankan kebebasan pelayaran dan menyokong kata-kata kami dengan tindakan."

AS dan UK sejak Januari melancarkan serangan berulang kali ke atas sasaran Houthi di Yaman sebagai tindak balas kepada serangan kapal, tetapi pemberontak terus menyasarkan kapal dagang.

Mereka mula menyerang kapal-kapal di Teluk Aden dan Laut Merah pada bulan November, kempen yang mereka katakan bertujuan untuk menyatakan solidariti dengan rakyat Palestin di Gaza,

Houthi berikrar untuk menyerang kapal Israel, UK dan AS serta kapal yang menuju ke pelabuhan Israel, mengganggu lalu lintas melalui laluan perdagangan penting di luar pantai Yaman.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mac 2024 @ 8:28 AM