RUBYMAR karam di Laut Merah. FOTO Reuters
RUBYMAR karam di Laut Merah. FOTO Reuters
Reuters

Sanaa: Sebuah kapal milik United Kingdom (UK) yang diserang pemberontak Houthi pada bulan lalu dan karam di Laut Merah, dikhuatiri menimbulkan risiko kepada hidupan marin, menurut tentera Amerika Syarikat (AS) pada Sabtu.

AS memberi amaran kargo ammonia dari kapal dikenali sebagai Rubymar itu, serta bahan api yang bocor dari kapal berkenaan boleh menyebabkan kerosakan ekologi di Laut Merah.

Rubymar yang didaftarkan di Belize adalah kapal pertama yang hilang, sejak Houthi mula menyasarkan kapal komersial pada November.

Serangan dron dan peluru berpandu sudah memaksa firma perkapalan mengalihkan kapal ke laluan yang lebih panjang di sekitar selatan Afrika, mengganggu perdagangan global apabila ada penghantaran ditangguhkan sekali gus berlaku peningkatan kos.

"Kapal karam itu juga memberi risiko impak bawah permukaan laut kepada kapal lain yang transit di laluan perkapalan tersibuk," kata Komando Markas Pemerintah Pusat Amerika Syarikat (Centcom) dalam kenyataannya di platform media sosial X.

Rubymar membawa kira-kira 21,000 tan metrik baja, kata Centcom pada Sabtu.

Houthi yang bersekutu dengan Iran dan menguasai utara Yaman berkata, kempen mereka adalah menunjukkan solidariti kepada rakyat Palestin di Gaza.

Serangan Houthi mendorong beberapa siri serangan balas terhadap kedudukan mereka oleh AS dan UK serta menyebabkan tentera laut negara lain menghantar kapal ke rantau itu untuk melindungi laluan perdagangan Terusan Suez yang penting itu.

Kapal Rubymar karam di selatan Laut Merah, lewat Jumaat atau awal Sabtu, menurut kenyataan kerajaan Yaman dan Centcom.

Terdahulu, tentera AS sebelum ini berkata, serangan peluru berpandu 18 Februari merosakkan kapal itu dengan teruk dan menyebabkan tumpahan minyak sejauh 29 kilometer.

Rubymar dengan bendera Belize hanyut ke utara selepas terkena peluru berpandu balistik antikapal Houthi pada 18 Februari lalu di Selat Bab el-Mandeb, laluan air penting yang menghubungkan Laut Merah dan Teluk Aden.

Menteri Luar Yaman Ahmed Awad bin Mubarak, dalam catatan di X berkata: "Tenggelamnya Rubymar adalah malapetaka alam sekitar di mana Yaman dan wilayahnya tidak pernah mengalaminya sebelum ini.

"Ia adalah tragedi baharu untuk negara kita dan rakyat kita. Setiap hari kita membayar harga untuk pemberontakan Houthi..."

Kerajaan Yaman yang diiktiraf di peringkat antarabangsa serta disokong oleh Arab Saudi sudah berperang dengan Houthi sejak 2014.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mac 2024 @ 11:02 AM