AFP

Washington: Amerika Syarikat (AS) dan Britain menyerang puak Houthi selepas pemberontak disokong Iran itu terus menyerang laluan perkapalan di Laut Merah.

Media AS melaporkan pada Khamis bahawa saksi melihat serangan udara di bandar Yaman yang membabitkan jet pejuang dan peluru berpandu Tomahawk.

Pihak berkuasa AS bagaimanapun tidak mengesahkan laporan itu ketika dihubungi AFP.

Serangan udara melanda beberapa bandar di Yaman, di mana Huothi mengawal sebahagian besar wilayah, kata sumber dan saksi.

Serangan puak Houthi semakin meningkat di laluan laut antarabangsa utama sejak perang di Gaza meletus pada 7 Oktober lalu.

Perdana Menteri Britain, Rishi Sunak turut mengadakan mesyuarat kabinet tergempar di London pada Khamis untuk membincangkan serangan terhadap Houthi, lapor media United Kingdom.

Sementara itu pemberontak Houthi berkata mereka bertindak sebagai tindak balas terhadap pengeboman Israel ke atas Semenanjung Gaza, dan melancarkan dron dan peluru berpandu ke arah Israel.

Amerika Syarikat dan sekutunya mengeluarkan beberapa siri amaran yang semakin keras kepada Houthi.

Washington menyelaras satu gabungan set antarabangsa pada Disember, dikenali sebagai 'Operasi Penjaga Kemakmuran' bagi menjaga keamanan laluan trafik maritim di perairan digunakan 12 peratus daripada dagangan dunia.

Sejumlah 12 negara menyertai gabungan diterajui AS itu dan memberi amaran kepada Houthi supaya menghentikan serta merta serangan terhadap kapal dagang atau menghadapi akibatnya.

Namun, Selasa lalu, Houthi melancarkan apa yang disebut London sebagai serangan terhebat mereka, memaksa AS dan Britain menembak jatuh 18 dron dan tiga peluru berpandu.

Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) juga menggesa semua serangan di Laut Merah dihentikan serta merta, dengan amaran ia semakin mengancam kestabilan dan keselamatan serantau.

Serangan terakhir untuk sekutu Barat pada Khamis apabila puak Houthi menembak peluru berpandu balistik anti-kapal ke lorong dagang di Teluk Aden.

Ia adalah serangan ke-27 ke atas perkapalan antarabangsa di Laut Merah sejak 19 November, kata tentera AS.

Serangan yang semakin sengit menyebabkan syarikat perkapalan memintas laluan dan sebaliknya melencong di sekitar Tanjung Harapan Afrika Selatan, mencetuskan kebimbangan akan kejutan kepada ekonomi global.

Houthi berkata mereka hanya menyasarkan kapal yang dikaitkan dengan Israel atau sekutunya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 January 2024 @ 11:07 AM
(GAMBAR FAIL) Kapal kargo Galaxy Leader diiringi oleh bot Houthi di Laut Merah dalam gambar yang dikeluarkan pada 20 November 2023 ini. FOTO Edaran Tentera Houthi melalui REUTERS
(GAMBAR FAIL) Kapal kargo Galaxy Leader diiringi oleh bot Houthi di Laut Merah dalam gambar yang dikeluarkan pada 20 November 2023 ini. FOTO Edaran Tentera Houthi melalui REUTERS