KAPAL yang dipercayai dirampas pemberontak Houthi. FOTO Agensi
KAPAL yang dipercayai dirampas pemberontak Houthi. FOTO Agensi
Reuters

Baitulmaqdis: Israel pada Ahad mengesahkan kumpulan Houthi Yaman merampas sebuah kapal kargo milik British yang dikendalikan Jepun ketika melalui di selatan Laut Merah.

Susulan kejadian itu, Israel menyifatkan insiden terbabit sebagai 'tindakan keganasan oleh Iran' yang mengancam keselamatan maritim antarabangsa.

Houthi berkata, mereka merampas sebuah kapal di kawasan itu tetapi menyifatkannya sebagai 'kapal Israel'.

"Kami melayani semua anak kapal mengikut prinsip dan nilai Islam," kata jurucakap kumpulan itu.

Houthi, sekutu Teheran, melancarkan peluru berpandu jarak jauh dan dron ke Israel sebagai solidariti dengan pejuang Hamas Palestin yang bertempur di Semenanjung Gaza.

Jurucakap Nippon Yusen Jepun, juga dikenali sebagai NYK, mengesahkan bahawa pengangkut kereta yang dikendalikannya dirampas di Laut Merah, dan ia sedang mengumpul maklumat lanjut.

Akhbar Nikkei Jepun melaporkan terdapat 22 anak kapal termasuk warga Bulgaria dan Filipina, tetapi tiada warga Jepun.

Minggu lalu, pemimpin Houthi berkata, tenteranya akan melakukan serangan lanjut ke atas Israel dan mereka boleh menyasarkan kapal-kapal Israel di Laut Merah dan Selat Bab al-Mandeb.

Amerika Syarikat (AS) sedang memantau keadaan, kata seorang pegawai pertahanan.

Pejabat Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berkata, sebuah kapal - yang tidak dinamakannya - dirampas. Tiada warga Israel di atas kapal dan Israel tidak terbabit dalam pemilikan atau operasinya, kata pejabatnya.

"Ini adalah satu lagi tindakan keganasan Iran yang mewakili peningkatan dalam pergaduhan Iran terhadap rakyat dunia bebas, dengan kesan antarabangsa yang seiringan dengan keselamatan laluan perkapalan global," kata pejabatnya.

Terdahulu, kumpulan Houthi pada Ahad berkata, semua kapal yang dimiliki atau dikendalikan oleh syarikat Israel, atau membawa bendera Israel, boleh menjadi sasaran.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 November 2023 @ 10:48 AM