SEBUAH kereta dibakar dalam rusuhan kematian George Floyd di Washington. FOTO AFP
SEBUAH kereta dibakar dalam rusuhan kematian George Floyd di Washington. FOTO AFP
Agensi

Los Angeles: Sebanyak 25 bandar di 16 negeri di Amerika Syarikat (AS) menguatkuasakan perintah berkurung.

Ia selepas tunjuk perasaan tercetus di beberapa bandar susulan penduduk yang tidak berpuas hati dengan kematian seorang lelaki berkulit hitam, George Floyd, 46.

Lelaki itu ditahan oleh polis berkulit putih di luar sebuah kedai di Minneapolis, Minnesota, pada 25 Mei lalu.

Dia yang tidak bersenjata dikatakan menggunakan wang kertas palsu.

Ketika kejadian, polis dikatakan menggunakan kekerasan ketika menahan Floyd apabila menekan leher mangsa dengan lutut yang menyebabkan dia sukar bernafas.

Video mengenai kejadian yang turut menunjukkan Floyd merayu berulang kali, tular hingga membangkitkan kemarahan orang ramai.

Floyd kemudian meninggal dunia tidak lama kemudian.

Di Seattle, asap dilihat menyelubungi udara selepas polis anti-rusuhan berada di luar sebuah bangunan.

Di Philadelphia, pasukan keselamatan juga dilihat mengejar sekumpulan individu yang melanggar perintah berkurung.

Perkataan I can't breathe (saya tidak boleh bernafas) ditulis pada sebuah bangunan.

Selain itu, ada individu yang mengambil kesempatan itu dengan memasuki premis perniagaan di kawasan perniagaan terkemuka di Melrose Avenue, Los Angeles.

Dalam pada itu, pasukan pengawal kebangsaan sudah dihantar ke Washington untuk membantu menyuraikan penunjuk perasaan berhampiran White House.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mei 2020 @ 1:52 PM