WATKINS dibebaskan ketika berusia 74 tahun.
WATKINS dibebaskan ketika berusia 74 tahun.
Agensi

Nashville: Seorang wanita di Tennessee, Amerika Syarikat (AS) yang pernah dipenjara secara salah selama 27 tahun atas kesalahan membunuh anak saudaranya, akhirnya dibebaskan daripada pertuduhan itu, minggu ini.

Wanita itu, Joyce Watkins kini berusia 74 tahun.

Menurut laporan media tempatan, pada 26 Jun 1987, Watkins bersama teman lelakinya, Charlie Dunn datang untuk mengambil anak saudaranya Brandi yang berusia empat tahun.

Pada keesokan harinya, Brandi dikatakan tidak sedarkan diri dan ia menyebabkan Watkins membawa kanak-kanak itu ke Hospital Memorial Nashville.

Brandi dipercayai mengalami kecederaan pada kemaluan dan kepala, sebelum disahkan meninggal dunia sehari kemudian.

Watkins bersama teman lelakinya hanya bersama Brandi dalam tempoh sembilan jam sebelum ini.

Laporan perubatan Dr Gretel Harlan menyimpulkan bahawa kecederaan pada mangsa dialami dalam tempoh masa itu.

Setahun kemudian, Watkins dan Dunn dijatuhi hukuman atas kesalahan membunuh dan merogol.

Mereka kemudian menghabiskan 27 tahun di dalam penjara sebelum diberikan parol pada 2015.

Namun sebelum dibebaskan, Dunn meninggal dunia.

Difahamkan, sebelum kejadian pada 1987 itu, Brandi menetap bersama ibu saudaranya Rose Williams kerana ibu kanak-kanak itu berada di Georgia.

Ketika itu juga, Jabatan Kebajikan dan Khidmat Sosial Kentucky menerima laporan bahawa Brandi menjadi mangsa dera.

Williams memaklumkan kecederaan dialami Brandi disebabkan kanak-kanak itu jatuh ketika bermain di taman permainan sebelum siasatan kes berkenaan ditutup.

Kini, selepas 35 tahun, Watkins sudah hidup bebas, tetapi mahu membersihkan semula namanya.

Anak perempuan Dunn, Jackie turut berada di mahkamah ketika prosiding pendengaran dibuat pada Rabu lalu.

"Saya mengharapkan bapa berada di sini untuk menjadi saksi peristiwa ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 January 2022 @ 6:45 AM