BRANDIE LaCasse terpaksa menumpang rumah rakannya dan tinggal di dalam kereta buat sementara waktu. FOTO CBS.
BRANDIE LaCasse terpaksa menumpang rumah rakannya dan tinggal di dalam kereta buat sementara waktu. FOTO CBS.
Agensi

New York: Pesara tentera Amerika Syarikat ini memiliki tiga rumah namun, terpaksa menumpang di rumah rakan bersama anak perempuannya buat sementara waktu, selain tinggal dalam kereta selepas penyewanya enggan membayar sewa.

Lebih malang, Brandie LaCasse tidak dapat mengambil apa-apa tindakan ke atas semua penyewanya itu berikutan masing-masing dilindungi di bawah dasar larangan pengusiran, susulan pandemik Covid-19.

Brandie yang juga ibu tunggal berkata, penyewanya tidak membayar sewa selepas dia meminta mereka keluar daripada unitnya, bahkan wanita itu menanggung tunggakan lebih AS$23,000 (RM95,886).

Dia memberitahu CBS tidak dapat mengusir penyewanya ketika ini kerana peruntukan pengusiran yang dikuatkuasakan negeri dan persekutuan.

"Saya menangis setiap malam memikirkan 'mana duit saya?' Saya tidak faham bagaimana mereka (kerajaan) boleh beri rumah saya kepada orang lain untuk mereka duduk secara percuma.

"Sedangkan saya yang membeli hartanah itu dengan segala kudrat dan kemampuan saya," katanya.

Dasar larangan pengusiran diwujudkan untuk melindungi penyewa sepanjang tempoh pandemik, namun sesetengah pemilik hartanah menyifatkan mereka sebagai mangsa akibat dasar itu.

Pakar polisi perumahan yang juga profesor di Universiti Pennsylvania, Vincent Reina berkata, hampir 10 peratus pemilih hartanah di AS mengutip kurang daripada separuh sewa rumah pada 2020.

Katanya, pemilik yang memiliki kurang daripada enam unit rumah adalah golongan paling terkesan.

CBS menghubungi Carla McArthur iaitu seorang daripada penyewa Brandie, dan diberitahu wanita itu bahawa dia dan suaminya tidak dapat membayar sewa rumah kerana terjejas akibat Covid-19.

"Saya rasa bersalah kerana tidak dapat membayar sewa kepada dia tetapi kami hilang pendapatan. Saya dijangkiti Covid-19 dua kali, anak saya sekali dan suami saya juga sekali. Kami sangat terkesan dengan virus ini," katanya.

\

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Ogos 2021 @ 12:29 PM