THOMAS DUNN
THOMAS DUNN
Agensi

LONDON: Seorang lelaki didapati bersalah atas tuduhan mencederakan seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun dengan memasukkan mangsa ke dalam mesin pengering pakaian.

Mail Online melaporkan, Thomas Dunn, 25, didakwa melakukan kesalahan itu ketika menjaga anak teman wanitanya di sebuah rumah flat di Arbroath, Angus, Scotland pada Januari tahun lalu.

Dalam perbicaraan selama lima hari di Mahkamah Dundee Sheriff, juri mendapati Dunn bersalah mencederakan kanak-kanak itu dengan memasukkan mangsa ke dalam mesin pengering pakaian.

Ibu mangsa dilaporkan berada di rumah berkenaan ketika kejadian berlaku.

Dunn juga didapati bersalah memukul kepala dan badan kanak-kanak itu dengan tangan serta objek yang tidak diketahui.

Menurut laporan perubatan, kejadian itu menyebabkan tengkorak mangsa retak.

Dunn dalam pembelaannya mendakwa, kanak-kanak itu merangkak masuk ke dalam mesin pengering pakaian sebelum pintunya tertutup dan hidup dengan sendiri.

Lelaki itu kini ditahan sementara menunggu hukuman dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi pada masa yang akan ditetapkan kemudian.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Jun 2019 @ 10:40 PM