AFP

TINDAKAN ahli politik kontroversi, Pauline Hanson memakai burka ke Dewan Senat Australia di Canberra, semalam mengundang kritikan ramai terutama kecaman kuat daripada Peguam Negara.

Hanson memakai burka untuk menarik perhatian terhadap isu keselamatan yang kononnya timbul akibat pakaian itu.

Sambil diganggu senator lain, Hanson mendakwa, pemakaian burka punca isu keselamatan serta dikaitkan dengan keganasan.

Selepas duduk di tempatnya dan memakai burka itu selama 20 minit, Hanson menanggalkannya dan bertanya kepada Peguam Negara George Brandis: “Adakah kerajaan akan berusaha mengharamkan burqa di Australia berdasarkan isu keselamatan negara?"

Brandis menegaskan kerajaan tidak mempunyai niat berbuat demikian dan memberi amaran Hanson berisiko menyinggung perasaan umat Islam di negara itu dengan memakai burka apabila dia jelas bukan seorang Muslim.

Dengam suara penuh emosi, Brandis berkata:

"Dengan menghina komuniti Islam, mengusirnya dan mengejek pakaiannya, tindakan anda mengejikan. Saya minta anda merenungkan tindakan yang dilakukan ini.”

Brandis turut menjelaskan, seorang Muslim yang soleh termasuk mereka yang memakai burka konsisten dengan warganegara yang mematuhi undang-undang.

“Kita mempunyai kira-kira setengah juta warga Australia yang beragama Islam dan kebanyakan mereka mematuhi undang-undang dan adalah warga Australia yang baik,” katanya.

Brandis mendapat tepukan gemuruh daripada ahli politik di situ termasuk pembangkangnya dari parti Labour dan Greens.

Senator bebas, Derry Hinch menganggap kelakuan Hanson satu perbuatan menjijikkan.

“Pauline Hanson mengejek agama beberapa orang Australia ... dia mempermainkan tempat yang mulia (Senat),” katanya kepada Sky News.

Bagaimanapun, Hanson tidak menyesal dengan tindakannya itu dan berharap mesejnya dapat disampaikan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Ogos 2017 @ 4:07 PM
(KIRI) TINDAKAN Hanson memakai burka di Parliament House dikecam Brandis. FOTO EPA
(KIRI) TINDAKAN Hanson memakai burka di Parliament House dikecam Brandis. FOTO EPA