KEADAAN sebuah pangsapuri di Johannesburg, Afrika Selatan selepas terbakar. FOTO AFP.
KEADAAN sebuah pangsapuri di Johannesburg, Afrika Selatan selepas terbakar. FOTO AFP.
Agensi

Johannesburg: Polis Afrika Selatan menahan seorang lelaki selepas dia mengaku memulakan kebakaran yang mengorbankan 76 orang di sebuah bangunan di bandar ini, tahun lalu.

Suspek berusia 29 tahun membuat pengakuan mengejut itu dan menunjukkan bukti ketika siasatan, kata polis.

Tahun lalu, kebakaran bangunan Usindiso di Marshalltown yang majoriti penghuninya golongan miskin, mengorbankan 77 orang termasuk kanak-kanak dan ramai cedera.

Tragedi itu membangkitkan isu mengenai bangunan terbiar dan ditinggalkan pemilik dengan tidak terurus di Afrika Selatan.

Dalam siasatan, suspek yang tidak didedahkan identiti memberitahu kebakaran tercetus selepas dia cuba 'menghapuskan' seorang lelaki yang dibunuhnya.

Dia yang akan dihadapkan ke mahkamah dalam masa terdekat, menghadapi tuduhan menyebabkan kebakaran dan 120 tuduhan cubaan membunuh.

Media tempatan yang menggelar suspek sebagai Mr X melaporkan, pada hari kejadian pada Ogos tahun lalu, suspek memukul dan mencekik seorang lelaki hingga mati, sebelum menuang petrol ke atas badan lelaki itu serta membakarnya.

Dia didakwa menerima arahan daripada pengedar dadah supaya menghapuskan seorang lelaki yang tinggal di bangunan itu.

Bangunan Usindiso adalah rumah kepada ratusan penduduk, sebahagian daripada orang termiskin dalam masyarakat Afrika Selatan.

Bangunan terbiar begitu biasanya tidak dilengkapi kemudahan asas seperti air dan elektrik mahupun mengutamakan aspek keselamatan, malah ada setengahnya dirampas penjenayah yang melakukan ugutan kepada penduduk.

Datuk Bandar Johannesburg, Kabelo Gwamanda pada Isnin berkata, terdapat 188 bangunan 'jahat' yang disiasat dengan 134 daripadanya terletak di pusat bandar.

Siasatan awam mengenai tragedi itu mengumpul bukti mengenai kebakaran dan isu bangunan tidak selamat yang lebih meluas dan akan dilaporkan pada akhir tahun ini.

Keterangan Gambar:

KEADAAN sebuah pangsapuri di Johannesburg, Afrika Selatan selepas terbakar. FOTO AFP.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January 2024 @ 12:36 PM