ORANG ramai menyertai protes susulan kes rogol berkenaan. FOTO AP
ORANG ramai menyertai protes susulan kes rogol berkenaan. FOTO AP
Agensi

Cape Town: Lebih 80 lelaki dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan merogol secara berkumpulan lapan wanita dan melakukan rompakan bersenjata terhadap kru penggambaran video muzik di sebuah bandar di Afrika Selatan.

Kejadian di bandar Krugersdorp, yang terletak di barat Johannesburg.

The Guardian melaporkan, kesemua tertuduh ditahan di tapak perlombongan terbiar.

Mereka adalah pelombong haram dikenali sebagai zama-zama yang menggali emas di banyak lombong di Johannesburg.

Menurut penduduk tempatan, kumpulan itu juga dipersalahkan atas jenayah berleluasa di kawasan berkenaan.

Polis memaklumkan, kejadian rogol berkumpulan itu berlaku apabila kru dan model untuk penggambaran sebuah video muzik di salah sebuah lombong terbiar, diserang lelaki bersenjata pada Khamis minggu lalu.

"Ada seramai 22 kru (termasuk model) terdiri daripada 12 wanita dan 10 lelaki sedang sibuk merakam video muzik sebelum mereka mendakwa diserang sekumpulan lelaki bersenjata berselimut.

"Suspek mengarahkan semua kru berbaring dan terus merogol lapan daripada wanita itu kemudian merompak semua harta benda mereka sebelum melarikan diri dari tempat kejadian," kata pesuruhjaya polis wilayah Gauteng, Leftenan Jeneral Elias Mawela, dalam satu kenyataan.

Semua peralatan video turut dicuri dan polis sedang menyiasat 32 pertuduhan merogol.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Ogos 2022 @ 6:00 AM