BOMBA memadam kebakaran di bangunan berkenaan. FOTO AFP
BOMBA memadam kebakaran di bangunan berkenaan. FOTO AFP
AFP

Johannesburg: Kebakaran memusnahkan bangunan lima tingkat yang diambil alih untuk perumahan haram di tengah Johannesburg, semalam, mengorbankan 74 orang termasuk 12 kanak-kanak, kata pihak berkuasa Afrika Selatan pada Khamis.

Seramai 61 mangsa cedera dan dirawat di hospital dalam salah satu kebakaran paling buruk di seluruh dunia sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Mayat ditemukan bertimbun di pintu pagar keselamatan yang ditutup, menghalang orang ramai daripada menyelamatkan diri, kata seorang pegawai.

Thembalethu Mpahlaza, ketua perkhidmatan forensik di wilayah Gauteng Johannesburg berkata, sejumlah 74 mayat ditemukan iaitu 24 wanita, 40 lelaki dan 10 lagi yang "melecur sehingga tidak dapat dikenali."

"Seramai 12 kanak-kanak turut terbabit dalam tragedi ini," katanya pada sidang media.

Pihak berkuasa bandar berkata, bangunan milik perbandaran di kawasan yang serba kekurangan dan lokasi jenayah itu dijadikan perumahan haram selepas ia ditinggalkan.

Kebanyakan mereka yang tinggal di sana adalah warga asing, kata seorang penduduk.

"Saya bersyukur kerana masih hidup, terdapat ramai daripada kami berlari, cuba mencari pintu keluar dan ramai orang akhirnya meninggal dunia kerana terhidu asap," kata Kenny Bupe, seorang mangsa yang terselamat.

Katanya, ketika kejadian, dia melawat seorang kawan di bangunan itu.

Lelaki berusia 28 tahun itu memberitahu AFP dia berada dalam kumpulan yang berjaya membuka pintu penyelamat kebakaran yang terkunci dan lari ke tempat selamat, manakala yang lain "melompat keluar" dari tingkap.

Selimut dan cadar digunakan untuk melarikan diri digantung dari tingkap yang terbakar.

Saksi turut memberitahu ada ibu bapa membuang bayi mereka ke jalan, berharap orang ramai menyelamatkan anak mereka.

"Ada orang menangkap bayi dan ada juga tilam yang disediakan untuk (mereka)," kata Mac Katlego, 25, yang tinggal di seberang jalan.

Pada sebelah malamnya, anggota penyelamat menyelesaikan operasi mencari sebelum menyerahkan tempat kejadian kepada polis.

Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa yang mengunjungi tempat kejadian pada sebelah petang berkata, pihak berkuasa sedang berusaha "sepenuhnya" untuk membantu mereka yang terjejas, sambil menambah bencana itu perlu disiasat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 September 2023 @ 8:42 AM