PEMANDANGAN dari helikopter di kawasan berdekatan ABC, Nepal. FOTO AFP
PEMANDANGAN dari helikopter di kawasan berdekatan ABC, Nepal. FOTO AFP
AFP

Kathmandu: Mayat pemandu arah kepada empat pendaki warga Korea Selatan yang hilang di kawasan pergunungan Himalaya di Nepal susulan insiden runtuhan salji Januari lalu, berjaya ditemui.

Ketua Polis Daerah Kaski, Dan Bahadur Karki memberitahu AFP bahawa pihaknya menemui mayat itu selepas salji cair manakala empat pendaki itu belum ditemui.

Beliau berkata, pihaknya pergi ke kawasan itu dan menemui beg dan mayat pemandu arah itu.

"Setakat ini belum ada keputusan diambil sama ada mahu menyambung pencarian empat pendaki itu.

"Keadaan salji masih tebal di kawasan yang kami syaki ada mayat mereka. Kami masih berbincang apa yang mahu dibuat," katanya.

Sebelum ini runtuhan salji melanda semua pendaki bersama pemandu arah warga Nepal itu di sekitar 3.230 meter (10.600 kaki) berhampiran Annapurna Base Camp (ABC) pada 17 Januari dan sejak itu mereka tidak ditemui.

Keadaan runtuhan salji yang berterusan di situ menyukarkan kerja pencarian.

Nepal kini masih dalam perintah berkurung berikutan penularan wabak Covid-19 dan permit untuk mendaki juga digantung.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 April 2020 @ 4:15 PM