GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Agensi

SAINTIS China dan Amerika Syarikat kini bekerjasama untuk membangunkan vaksin bagi menentang koronavirus yang menyebabkan kematian 25 individu setakat ini.

Setakat ini, tidak ada penawar bagi virus berkenaan yang mempunyai simptom seakan-akan pneumonia dan boleh menjangkiti individu lain.

Agensi berita tempatan, Xinhua melaporkan, pakar dari Kolej Perubatan Baylor di Houston; Universiti Texas; Pusat Darah New York dan Universiti Fudan di Shanghai sedang bekerjasama untuk projek membangunkan vaksin itu.

Dekan, Sekolah Perubatan Tropikal dari Kolej Perubatan Baylor, Peter Hotez berkata, pembangunan vaksin bukan sesuatu yang boleh dibuat dalam masa singkat.

“Kami juga tidak pasti sama ada vaksin berkenaan boleh disediakan sebelum epidemik ini berakhir,” katanya.

Institut Kesihatan Nasional Amerika Syarikat turut mula membangunkan vaksin bagi menentang koronavirus dan menjangka untuk memulakan ujian ke atas manusia dalam tempoh tiga bulan lagi.

Hotez berkata, bagaimanapun, pakar perubatan masih berbelah bagi mengenai impak virus berkenaan memandangkan corak pemindahannya masih belum dikenal pasti.

Sementara itu, Seorang profesor virologi di Universiti Hong Kong, Guan Yi berkata, mengikut anggaran konservatif, skala jangkitan koronavirus mungkin 10 kali lebih tinggi dari SARS.

Dia yang juga antara individu pertama dalam pasukan yang mengenal pasti SARS satu ketika dulu, mengunjungi Wuhan baru-baru ini untuk mendapatkan lebih banyak maklumat berkaitan.

“Saya telah melalui pelbagai perkara sebelum ini dan tidak berasa takut. Kebanyakannya masih dalam kawalan. Namun, kali ini saya takut,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 January 2020 @ 7:22 PM