FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Agensi

Washington: Satu daripada setiap lima kes jangkitan Covid-19 di Amerika Syarikat (AS) pada masa kini, mungkin membabitkan varian Delta.

CNN melaporkan varian Delta yang pertama kali dikesan di India kini menjadi dominan di AS, sekali gus boleh menyebabkan peningkatan jangkitan Covid-19 di negara itu menjelang akhir tahun ini.

Varian Delta melanda seluruh United Kingdom (UK) dan ia menggantikan varian Alpha yang pertama kali dikenal pasti di negara itu pada akhir tahun lalu.

"Ini adalah yang paling mudah tersebar berbanding semua varian yang pernah kita lihat," kata Dr Peter Hotez, dekan Fakulti Perubatan di Kolej Perubatan Baylor.

"Kami melihat apa berlaku di UK, di mana (varian Delta) mengatasi (varian lain menerusi jumlah kes Covid-19) di seluruh negara.

"Oleh itu, saya bimbang perkara itu akan berlaku di AS," katanya.

Pengarah Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS Dr Rochelle Walensky mengatakan beliau menjangkakan varian Delta akan menjadi varian utama di AS pada akan datang.

Ia mungkin akan berlaku dalam tempoh beberapa minggu lagi, kata William Lee yang juga naib presiden Helix, syarikat yang ujian Covid-19nya membantu menjejak varian virus itu.

Sehubungan itu, Hotez, Lee dan pakar penyakit berjangkit terkemuka AS, Dr Anthony Fauci mengatakan, varian Delta akan menyumbang kepada satu perlima daripada kes Covid-19 di negara itu.

Pakar juga berpendapat varian lebih mudah menular seperti varian Delta juga mungkin memerlukan pertambahan jumlah populasi yang perlu divaksin untuk mencapai imuniti kelompok.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Jun 2021 @ 6:00 AM