GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Siti Nor Hidayatidayu Razali


KELANTAN turut melakukan pemeriksaan saringan kesihatan di pintu masuk sempadan Kelantan-Thailand susulan penularan virus selsema yang ada persamaan Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS).

Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan Datuk Dr Zaini Hussin berkata, pihaknya menempatkan petugas kesihatan di tiga pintu masuk sempadan iaitu di Rantau Panjang dekat Pasir Mas; Pengkalan Kubor di Tumpat dan Bukit Bunga di Tanah Merah.

“Sekiranya terdapat kes yang disyaki, individu berkenaan akan dirujuk ke fasiliti kesihatan berhampiran untuk pemeriksaan lanjut.

“Saringan pesakit di klinik kesihatan dan jabatan kecemasan hospital juga diperketatkan bagi memastikan mereka yang disyaki dirujuk dan dikendalikan dengan mematuhi langkah pencegahan serta kawalan infeksi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dr Zaini berkata, buat masa ini, tiada sebarang laporan diterima pihaknya berhubung kes atau tanda-tanda bergejala termasuk individu yang pernah melawat Wuhan, China.

“Kita akan terus memantau situasi kejadian penyakit ini dari semasa ke semasa,” katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan Kementerian Kesihatan melaksanakan prosedur saringan dan pemantauan di setiap pintu masuk antarabangsa, berkuat kuasa serta-merta susulan penularan virus selsema yang dilaporkan mempunyai persamaan dengan SARS.

Selari langkah pemantauan, semakan penggunaan antiviral di setiap negeri turut dijalankan bagi meneliti kewujudan gejala pneumonia atau jangkitan paru-paru terutama membabitkan individu yang pernah melawat Wuhan, China.

Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan dilapor giat memantau pola kejadian penyakit seperti influenza (ILI) dan Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) di seluruh negara.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 January 2020 @ 4:05 PM