ADDELAID
ADDELAID
Agensi

CAPE TOWN: Seorang peguam terkemuka Afrika Selatan maut selepas terkena tembakan daripada senapang patah yang dibawa ke mahkamah sebagai bahan bukti dalam kes perbicaraan diwakilinya pada Isnin lalu.

News.com.au yang memetik News24 melaporkan, Addelaid Ferreira-Watt, 51, meninggal dunia di hospital akibat pendarahan teruk selepas terkena tembakan pada bahagian pinggul.

Dalam kejadian itu, senjata yang menjadi bahan bukti kepada satu kes rompakan dikatakan terjatuh ke lantai menyebabkan picunya melepaskan tembakan hingga terkena mangsa.

Mirror Online melaporkan, kakitangan mahkamah yang panik kemudian cuba menghentikan pendarahan mangsa sebelum menghantarnya ke hospital.

Bagaimanapun, ibu kepada seorang anak itu tidak dapat diselamatkan dan akhirnya meninggal dunia akibat kecederaan dialami.

“Senjata terbabit dibawa ke mahkamah sebagai bahan bukti kes rompakan rumah namun ia terjatuh dan picunya terlepas tembakan,” kata polis.

Polis masih menyiasat kemungkinan sama ada ia kes menyebabkan kematian tanpa niat membunuh, selain mencari punca senjata itu berisi peluru.

Sementara itu, rakan mangsa yang juga seorang peguam berkata, senjata itu sepatutnya tidak perlu dibawa ke mahkamah memandangkan ia masih boleh digunakan untuk melepaskan tembakan.

“Senjata dan peluru yang diperoleh dalam kes jenayah itu sepatutnya dimasukkan dalam beg bahan bukti untuk dikemukakan di mahkamah.

“Jadi, tindakan itu menyebabkan mereka yang terbabit berdepan masalah besar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 November 2019 @ 1:44 PM