Tel Aviv: Dengan mengguna senjata mainan, seorang budak berusia 12 tahun dan rakannya berumur 13 tahun cuba merompak sebuah bank di Israel, tetapi melarikan diri tanpa mengambil sebarang wang, dipercayai kerana gementar.

Rakaman kamera keselamatan menunjukkan kedua-dua budak itu yang memakai baju lengkap penutup kepala, memasuki bank di Rishon Lezion, pinggir Tel Aviv, semalam.

Seorang daripada mereka juga dilihat membawa beg sekolah di belakangnya sementara tangannya memegang raifal.

Jurucakap polis, Micky Rosenfeld berkata, kedua-duanya membawa raifal M-16 mainan sambil menjerit ‘Ini rompakan.’

“Senjata mainan mereka kelihatan seperti raifal betul. Mereka yang berada dalam bank ketakutan, tetapi kedua-dua budak itu kemudian melarikan diri tanpa mengambil sebarang wang,” katanya.

Polis berjaya mengecam kedua-duanya dan menangkap mereka tidak lama selepas itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Disember 2014 @ 5:03 AM