SEORANG pelarian Rohingya meratapi anaknya yang meninggal dunia selepas menyeberang Sungai Naf dari Myanmar ke Whaikhyang di Bangladesh. - Fail (AFP)
SEORANG pelarian Rohingya meratapi anaknya yang meninggal dunia selepas menyeberang Sungai Naf dari Myanmar ke Whaikhyang di Bangladesh. - Fail (AFP)
AFP

THE HAGUE: Selepas sekian lama akhirnya Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) semalam, meluluskan siasatan penuh jenayah kemanusiaan kerajaan Myanmar terhadap etnik Islam Rohingya.

Barisan hakim ICC menyokong permohonan pendakwa untuk menyiasat dakwaan itu dan pendakwaan bagi operasi tentera 2017 terhadap etnik berkenaan.

Keputusan ICC itu dibuat selepas pemimpin awam tertinggi Myanmar, Aung San Suu Kyi, dinamakan dalam saman Argentina membabitkan jenayah terhadap Rohingya. Myanmar menghadapi satu lagi saman membabitkan pembunuhan beramai-ramai di ICC.

Antara 700,000 hingga sejuta etnik Rohingya melarikan diri dari negeri Rakhine, sebahagian besarnya ke Bangladesh bagi mengelak dibunuh tentera yang menurut PBB setaraf pembunuhan beramai-ramai.

Mahkamah di The Hague, Belanda, itu ditubuhkan pada 2002 bagi membicarakan jenayah terburuk dunia.

Antara siasatan yang dibenarkan mahkamah itu ialah ‘keganasan sistematik,’ jenayah kemanusiaan dan penganiayaan etnik atau agama terhadap Rohingya.

Myanmar menafikan dakwaan ia melakukan pembersihan etnik atau pembunuhan beramai-ramai.

Negara itu tidak menyertai ICC namun tahun lalu, mahkamah berkenaan memutuskan ia mempunyai kuasa bagi jenayah terhadap Rohingya kerana Bangladesh yang menjadi penempatan pelarian ialah anggota ICC.

Isnin lalu, negara Afrika Barat, Gambia, memfailkan kes di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) iaitu mahkamah tertinggi PBB, juga di The Hague, mendakwa Myanmar melakukan pembunuhan beramai-ramai.

Pembentangan pertama kes yang difailkan Gambia bagi pihak 57 negara Pertubuhan Kerjasama Islam itu dijangka bermula Disember ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 November 2019 @ 8:37 AM