Vladimir Putin. FOTO AFP.
Vladimir Putin. FOTO AFP.
Agensi

The Hague, Netherlands: Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) pada Jumaat, mengeluarkan waran tangkap terhadap Presiden Rusia Vladimir Putin, mendakwa pengusiran paksa kanak-kanak Ukraine oleh Moscow adalah jenayah perang.

Pengumuman itu mencetuskan kemarahan Moscow dengan jurucakap Kremlin Dmitry Peskov berkata, persoalan yang dibangkitkan oleh ICC "keterlaluan dan tidak boleh diterima".

Tegasnya, sebarang keputusan mahkamah berkenaan Rusia juga "batal dan tidak sah".

Rusia, seperti Amerika Syarikat dan China bukan ahli ICC.

Negara itu tidak berselindung apabila membawa beribu-ribu kanak-kanak Ukraine ke Rusia, namun mendakwanya sebagai kempen kemanusiaan untuk melindungi anak yatim dan kanak-kanak yang terbiar di zon konflik.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy menyifatkan langkah ICC adalah "kebertanggungjawaban yang bersejarah" dan menambah, pengusiran itu adalah bentuk dasar "kejahatan negara yang bermula dengan pegawai tertinggi."

Mahkamah itu juga mengeluarkan waran untuk Maria Lvova-Belova, pesuruhjaya Rusia untuk hak kanak-kanak, atas pertuduhan yang sama.

Putin menjadi presiden ketiga masih berkhidmat yang dikenakan waran tangkap oleh ICC, mungkin tidak akan dihadapkan ke mahkamah dalam masa terdekat.

Namun waran itu membolehkan beliau ditangkap dan dihantar ke The Hague jika mengunjungi mana-mana negara anggota ICC.

"Jika beliau mengembara, beliau berisiko ditangkap... ini tidak pernah hilang. Rusia tidak boleh mendapat pelepasan daripada sekatan tanpa mematuhi waran," kata bekas duta AS bagi jenayah perang, Stephen Rapp.

Berita berkaitan:

Waran tangkap terhadap Putin wajar - Biden

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mac 2023 @ 9:02 AM