BANGUNAN lima tingkat dibina pada 1975 terletak di kawasan mewah Cheongdam-dong, Gangnam, Seoul. - Korean Herald
BANGUNAN lima tingkat dibina pada 1975 terletak di kawasan mewah Cheongdam-dong, Gangnam, Seoul. - Korean Herald
Agensi

SEOUL: Budak perempuan Korea Selatan berusia enam tahun yang menjadi bintang YouTube menerusi video ulasan permainan dan blog video, membeli bangunan lima tingkat bernilai AS$8 juta (RM33 juta).

Mengikut dokumen pendaftaran hartanah awam, keluarga budak itu membeli bangunan itu di daerah mewah, Gangnam, awal tahun ini menerusi syarikat Boram Family ditubuhkan ibu bapanya,

CNN melaporkan, budak perempuan itu yang hanya dikenali sebagai Boram mempunyai dua saluran popular iaitu Boram Tube Vlog dengan 17.5 juta pengikut dan Boram Tube ToyReview (13.6 juta pengikut).

Antara video popularnya menunjukkan Boram memasak mi segera menggunakan set dapur permainan hingga menarik lebih 376 juta tontonan.

Video Boram memakai kostum Wonder Woman pada Januari lalu, ditonton lebih 38 juta kali.

Menurut laporan South China Morning Post, saluran YouTube Boram itu menghasilkan pendapatan berjumlah RM12.7 juta sebulan.

Forbes melaporkan antara bintang muda YouTube yang memperoleh pendapatan paling tinggi tahun lalu ialah kanak-kanak berusia tujuh tahun, Ryan Kaji yang terkenal dengan saluran Ryan ToysReview.

Dia menjana pendapatan dianggar AS$22 juta (RM90 juta) menerusi salurannya yang menarik lebih 20.8 juta pelanggan.

BORAM, bintang YouTube Korea Selatan.
BORAM, bintang YouTube Korea Selatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Julai 2019 @ 7:59 AM