GAMBAR majlis anugerah  yang dikongsi di Twitter   menjadi tular kerana semua penerimanya lelaki. FOTO Agensi
GAMBAR majlis anugerah yang dikongsi di Twitter menjadi tular kerana semua penerimanya lelaki. FOTO Agensi
Agensi

Dubai: Anugerah persamaan gender yang diadakan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dianggap jenaka kerana semua pemenangnya adalah lelaki.

Timbalan Presiden UAE yang juga pemerintah Dubai, Sheik Mohammed bin Rashid al-Maktoum menyampaikan anugerah membabitkan pelbagai kategori, termasuk agensi kerajaan dan pihak berkuasa menyokong persamaan gender serta inisiatif persamaan gender.

Menurut Al Jazeera, antara pemegang anugerah itu, termasuk Timbalan Perdana Menteri UAE Sheikh Saif bin Zayed Al Nahyan yang juga menteri dalam negeri kerana usahanya memperkenalkan dasar cuti bersalin dalam tentera.

Selain itu, timbalan pemerintah Dubai yang juga menteri kewangan UAE, Sheikh Hamdan bin Rashid Al Maktoum juga menerima anugerah terbabit bersama Menteri Sumber Manusia Nasser bin Thani al-Hamli.

Sheikh Mohammed memuji kepentingan wanita di Semenanjung Arab dengan berkata: “Keseimbangan gender menjadi tiang institusi kerajaan. Wanita juga “membentuk masa depan negara.”

Menurut Guardian, majlis itu dilabel sebagai ‘mengarut’ dan ‘jenaka’ di media sosial.

Gambar majlis anugerah itu yang dikongsi di Twitter pada 27 Januari lalu, oleh Pejabat Media Dubai menjadi tular, dengan ratusan likes, tweet semula dan komen sindiran.

Antaranya: “Bagaimana cara menjadikan diri anda bahan ketawa di mata dunia.. syabas Dubai,” dan “Mohon maaf saya yang terpaksa beritahu anda, tapi anda terlupa menjemput WANITA.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 January 2019 @ 10:44 AM