DR Zeti menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat.
DR Zeti menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat.

Kuala Lumpur: Sistem kewangan Islam dijangka memainkan peranan yang lebih penting dalam menghubungkan ekonomi dunia melalui pengukuhan hubungan kewangan.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata, kewangan Islam membawa manfaat yang besar kepada ekonomi keseluruhan memandangkan ia adalah satu bentuk pengantaraan kewangan yang baik kepada ekonomi sebenar.

Katanya, pengantarabangsaannya yang bermula pada awal milenium, dapat meningkatkan dan mengukuhkan kesalinghubungan antara ekonomi, memudahkan aktiviti pelaburan merentas sempadan dan perdagangan antarabangsa.

“Trend ini menandakan permulaan usaha kolektif dipergiat bagi meningkatkan infrastruktur kewangan Islam untuk mewujudkan sistem kewangan Islam global yang kukuh dan berdaya tahan,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Zeti berkata demikian dalam ucapan beliau, pada majlis penerimaan Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat di Anugerah Ekonomi Islam 2014 di Dubai, kelmarin.

Beliau berkata, pengantarabangsaan memerlukan usaha kolektif untuk mewujudkan struktur kewangan Islam antarabangsa dan pembangunan mekanisme untuk pengurusan mudah tunai merentas sempadan yang lebih berkesan.

“Usaha kolektif kami dalam membangunkan kewangan Islam akan menyediakan platform penting untuk membuka peluang potensi yang ada untuk memberi faedah kepada setiap segmen masyarakat dan komuniti perniagaan yang kini menjangkau melangkaui sempadan kita,” katanya.

Menurutnya, asas kepada pencapaian pembangunan seterusnya ialah untuk membangunkan tenaga mahir yang cekap dan berwibawa untuk memupuk inovasi kewangan dan ini memerlukan pelaburan dalam modal insan.

Sementara itu, Zeti turut menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat untuk pembangunan global Kewangan Islam. Beliau menerima Anugerah itu daripada Duli Yang Maha Mulia Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum, Naib Presiden dan Perdana Menteri Emiriah Arab Bersatu (UAE) serta Pemerintah Dubai.

Anugerah Ekonomi Islam diberikan kepada pertubuhan kerajaan dan perniagaan yang mewakili peringkat global dan tempatan bagi inisiatif inovasi perniagaan bertaraf dunia dan idea patuh syariah serta menyumbang kepada kebajikan sosial dan ekonomi penduduk Islam.

Anugerah ini dimulakan oleh Pusat Pembangunan Ekonomi Islam Dubai (DIEDC) dan dianjurkan oleh Dewan Perniagaan dan Industri Dubai serta Thomson Reuters.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 January 2015 @ 5:13 AM