TRUMP dikritik hebat angkara gagal memberi amaran kepada Putin. -Foto Reuters
TRUMP dikritik hebat angkara gagal memberi amaran kepada Putin. -Foto Reuters

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dikritik hebat pegawai risikan dan ahli Republikan kanan yang menyifatkan beliau sebagai ‘memalukan’ dan ‘menghina’, selepas enggan memberi amaran kepada Presiden Russia, Vladimir Putin atas tuduhan campur tangan dalam pilihan raya.

Trump kembali ke Washington, lewat semalam selepas persidangan pertama beliau sebagai presiden dengan Putin. Sebelum itu, Trump turut melakukan kunjungan ke beberapa persidangan dan negara di Eropah.

Senator Republikan, John McCain berkata, persetujuan Trump terhadap penafian Putin adalah tempoh sejarah terburuk bagi seorang Presiden AS dan menyifatkan persidangan antara kedua-dua pemimpin itu di Helsinki adalah ‘kesilapan tragik’.

“Sidang media di Helsinki adalah prestasi terburuk Presiden AS dalam sejarah. Kerosakan disebabkan kenaifan, sikap ego, salah pertimbangan dan simpati terhadap diktator sukar diterima. Tiada presiden sebelum ini begitu tunjuk kepada seorang diktator,” menurut kenyataan McCain.

Pengarah Risikan Nasional yang dilantik Trump, Dan Coats berkata, semua agensi risikan AS jelas dalam penilaian berdasarkan fakta mengenai kewujudan campur tangan Moscow dalam pilihan raya Presiden dua tahun lalu, namun Trump enggan mengakui di Helsinki.

“Russia bertanggungjawab di sebalik usaha berterusan untuk menjejaskan demokrasi kita,” kata Coats.

Ahli Republikan dan Demokrat yang terkejut dilihat bersatu mengutuk Trump dengan kritikan hebat turut dilakukan pengacara stesen televisyen Fox News yang biasanya mesra dengan Presiden itu.

“Presiden mesti memahami bahawa Russia bukan sekutu kita. Tiada persamaan moral antara AS dan Russia yang sentiasa memusuhi nilai-nilai asas kita,” kata Speaker Dewan Republikan, Paul Ryan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Julai 2018 @ 8:46 PM