TRUMP ketika bercakap di Konvensyen Veteran Perang di Charlotte, Carolina Utara, semalam. - Reuters
TRUMP ketika bercakap di Konvensyen Veteran Perang di Charlotte, Carolina Utara, semalam. - Reuters

Washington: Presiden Barack Obama enggan menolak kemungkinan Russia berusaha mempengaruhi pilihan raya presiden Amerika Syarikat bagi memihak kepada Donald Trump.

“Semuanya mungkin berlaku,” kata Obama dalam wawancara dengan stesen televisyen NBC yang disiarkan semalam.

Ia dakwaan paling serius dilemparkan oleh kerajaan Amerika Syarikat yang menyalahkan Russia terhadap pembocoran besar-besaran e-mel Jawatankuasa Kebangsaan Demokratik.

Russia menafikan pembabitannya.

Menurut Obama, Biro Siasatan Persekutuan (FBI) masih menyiasat kebocoran itu yang menunjukkan sikap sebelah pihak pemimpin Demokrat untuk menyokong Hillary Clinton berbanding pesaingnya Bernie Sanders.

Pembocoran itu memalukan Demokrat yang sedang mengadakan konvensyen mereka di Philadelphia untuk memilih calonnya bagi menghadapi Donald Trump, calon Republikan, dalam pilihan raya presiden 4 November depan.

Obama berkata, dia tidak bercakap mengenai motif khusus pembocoran e-mel itu, tetapi tahu mengenai ulasan Trump mengenai Russia.

“Donald Trump berulang kali menyuarakan kesukaannya kepada Vladimir Putin (Presiden Russia), dan saya berpendapat, Trump memperoleh sokongan Russia.

“Apa yang kami tahu, ada pihak di Russia yang menggodam sistem kita. Bukan sahaja sistem kerajaan, tetapi juga sistem peribadi,” kata Obama. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Julai 2016 @ 10:18 AM