KUMPULAN penunjuk perasaan mengadakan bantahan di Srinagar, India bagi mendesak pembunuh Asifa ditangkap dan didakwa. - EPA
KUMPULAN penunjuk perasaan mengadakan bantahan di Srinagar, India bagi mendesak pembunuh Asifa ditangkap dan didakwa. - EPA
Daily Mail

Mumbai: Seorang kanak-kanak berusia lapan tahun yang dirogol, dibunuh kejam sebelum mayatnya dicampak di dalam hutan dipercayai menjadi mangsa dendam satu kumpulan yang mahu mengusir komuniti Islam di Bakarwals, India.

Polis berkata, kejadian pada Januari lalu di Asifa Bano di Kashmir dirancang selama lebih sebulan sebagai satu cara untuk menghalau orang Bakarwals, satu komuniti Islam yang hidup secara nomad dengan menternak haiwan di kawasan itu.

Asifa dilaporkan hilang pada 10 Januari lalu dan mayatnya ditemui lima hari kemudian.

Kejadian itu mencetuskan kejutan dan kemarahan di seluruh India serta mendedahkan kebencian yang masih wujud antara masyarakat Islam dan Hindu di Kashmir.

Pegawai penyiasat memberitahu, mangsa diculik ketika memberi makan kudanya di kaki bukit sebelum kanak-kanak itu disembunyikan di kuil hindu selama beberapa hari.

Berdasarkan laporan forensik, mangsa diberi dadah dan dirogol berulang kali.

Mangsa kemudian dicekik dan dihentak dengan batu hingga mati. Mayat kanak-kanak itu juga dibakar sebelum ditemui dalam keadaan menyayat hati di hutan.

Sementara itu, ribuan penunjuk perasaan mengadakan bantahan di seluruh negara itu selepas beberapa pegawai polis dan ahli politik dikaitkan dengan kes Asifa serta satu lagi kes rogol membabitkan kanak-kanak.

Bekas pegawai kerajaan dan seorang pegawai yang menyiasat aduan kehilangan Asifa oleh keluarga mangsa turut dinamakan dalam kertas pertuduhan polis.

Peguam yang mewakili keluarga mangsa, Deepika Singh Rajawat berkata, beberapa lagi individu dituduh cuba menyembunyikan kejadian itu dan sehingga kini empat anggota polis sudah ditahan

Dalam kes berasingan, seorang lelaki mati dalam tahanan polis selepas menuduh ahli perundangan Parti Bharatiya Janata di Uttar Pradesh menculik dan merogol anak perempuannya yang berusia 16 tahun sembilan bulan lalu.

Polis gagal menyiasat dakwaan terhadap Kuldeep Singh Sengar, tetapi Biro Siasatan Pusat India mengambil alih menyiasat kes itu kelmarin.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 April 2018 @ 4:33 AM