Perusuh melihat lelaki yang didakwa pontianak mati dibakar. - Foto malawi24.com
Perusuh melihat lelaki yang didakwa pontianak mati dibakar. - Foto malawi24.com
AFP

POLIS Malawi menahan 124 orang terbabit dalam kejadian orang ramai yang merusuh dan membunuh dua lelaki kerana didakwa sebagai ‘pontianak’ cuba mengambil darah manusia untuk upacara ilmu hitam voodoo.

Kematian dua lelaki itu menjadikan sembilan ‘pontianak’ sudah dibunuh ketika khabar angin kononnya pontianak mengganas, tersebar di wilayah selatan negara itu sejak bulan lalu.

Keadaan itu memaksa pihak berkuasa di negara yang ramai penduduknya masih percayakan tahyul dan ilmu hitam itu, melaksanakan perintah berkurung pada waktu malam.

Menurut jurucakap polis, Ramsy Mushani, seorang mangsa dibakar manakala seorang lagi direjam dengan batu hingga mati oleh orang ramai.

“Penduduk bertindak demikian kerana mengesyaki dua lelaki itu menghisap darah,” katanya.

Pembunuhan itu berlaku di pinggir Blantyre, bandar perdagangan Malawi dengan orang ramai menyekat jalan raya.

Ketegangan akibat pontianak itu menyebabkan PBB mengeluarkan kakitangannya untuk program bantuan makanan dan perladangan dari beberapa kawasan sebagai langkah keselamatan.

Menurut PBB, khabar angin mengenai pontianak itu berasal dari Mozambique sebelum merebak ke Malawi yang berjiran, terutama di daerah Mulanje dan Phalombe.

Isu pontianak itu juga mendapat perhatian Presiden Peter Mutharika yang minggu lalu, berjanji siasatan dilakukan terhadap pembunuhan dan khabar angin pontianak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Oktober 2017 @ 9:33 PM