FOTO hiasan
FOTO hiasan
AFP

DHAKA: Lapan orang dibunuh dalam serangan oleh orang ramai di Bangladesh dicetuskan khabar angin di media sosial bahawa kanak-kanak diculik dan dikorbankan dalam pembinaan jambatan mega, kata polis semalam.

Mangsa yang turut termasuk dua wanita itu disasarkan kumpulan orang ramai yang mengamuk susulan penyebaran desas-desus berkenaan kebanyakannya menerusi Facebook yang mendakwa kepala manusia diperlukan untuk projek besar bernilai AS$3 bilion (RM12.4 bilion) itu, kata ketua polis Javed Patwary.

“Kami sudah meneliti setiap satu daripada lapan pembunuhan ini. Mereka yang dibunuh disahkan bukan penculik kanak-kanak,” katanya kepada pemberita.

Lebih daripada 30 orang turut diserang disebabkan berita palsu berkenaan.

Susulan itu, Javed berkata, balai polis di seluruh negara diarahkan mengambil tindakan tegas terhadap penyebaran khabar angin dan sekurang-kurangnya 25 rangkaian YouTube, 60 halaman Facebook serta 10 laman web sudah ditutup. Bagaimanapun, AFP mengenal pasti beberapa hantaran yang masih ada di Facebook mengenai khabar angin berkenaan.

Menurut media tempatan, ia bermula selepas laporan tersebar mengenai seorang lelaki yang kononnya dilihat membawa kepala kanak-kanak yang dipenggal di Netrokona.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Julai 2019 @ 9:15 PM