Jakarta: Kerajaan Indonesia tidak akan memohon maaf kepada mangsa tindakan antikomunis tajaan kerajaan 50 tahun lalu yang menyebabkan sehingga tiga juta orang mati dibunuh.

Setiausaha Kabinet Pramono Anung berkata semalam, semua laporan mengenai Presiden Joko Widodo (Jokowi) bersiap untuk memohon maaf sempena ulang tahun kejadian yang menyebabkan pembunuhan beramai-ramai itu tidak benar.

“Isu mengenai permohonan maaf atau seumpamanya tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet,” kata Pramono kepada wartawan di Istana Negara, semalam.

Jokowi lebih memberi perhatian kepada masalah yang lebih penting, termasuk menangani kelembapan pertumbuhan ekonomi.

“Isu memohon maaf itu tidak ada dalam pemikirannya ketika ini,” kata Pramono.

Khabar angin kononnya permohonan maaf secara rasmi terhadap kejadian yang membawa kepada pembunuhan beramai-ramai anggota dan mereka yang bersimpati kepada Parti Komunis Indonesia (PKI) tersebar sejak ucapan kebertanggungjawaban Jokowi bulan lalu.

Dalam ucapan itu, Jokowi menggesa rakyat Indonesia melupakan pencabulan hak asasi yang sudah lama berlaku.

Khabar angin sebelum ini mendakwa kerajaan akan memohon maaf pada 30 September ini, sempena ulang tahun dakwaan tentera bahawa PKI cuba merampas kuasa.

Sejarawan menuduh PKI dijadikan kambing hitam untuk membolehkan tentera yang diketuai Jeneral Suharto merampas kuasa daripada presiden ketika itu, Sukarno.

Kira-kira sejuta hingga tiga juta orang dibunuh tentera dan juga sayap pemuda Nahdlatul Ulama (NU), kumpulan Islam terbesar negara itu.

NU dan Muhammadiyah, kumpulan Islam kedua terbesar negara itu, menyelar sebarang cubaan untuk meminta maaf, begitu juga Parti Golkar yang diasaskan Suharto dan persatuan terbesar bekas tentera Indonesia. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 September 2015 @ 6:17 AM