KETIKA pelepasan.
KETIKA pelepasan.
Nurul Husna Mahmud


LEBIH 200 peserta menyertai Kayuhan Santai sempena Sambutan Belia Negara Peringkat Negeri Melaka berlangsung di Dataran Pahlawan baru-baru.

Dalam kayuhan berkenaan, peserta menempuh perjalanan sejauh 25 kilometer membabitkan laluan bermula dari Ujong Pasir, Serindit, Lebuh AMJ, Perkampungan Perigi Hang Tuah, Semabok dan Melaka Raya.

Pengurus Teknikal kayuhan itu, Mohd Roszei Nong Chik, berkata, keistimewaan laluan itu menyusuri kampung tradisi mendedahkan mengenai sejarah negeri serta tarikan pelancongan yang ada.

“Kayuhan kali ini dianjurkan sempena Sambutan Belia Negara peringkat negeri Melaka bertujuan memperkasakan belia serta mengekang gejala tidak bermoral.

“Sambil berkayuh peserta dapat lihat secara dekat suasana kampung di Melaka yang masih mengekalkan rumah tradisi selain mendekati komuniti setempat.

“Ini secara tidak langsung mempromosi produk pelancongan dalam negeri ini.

“Sebenarnya peserta bukan saja datang dari Melaka, ada yang datang dari Negeri Sembilan, Johor serta Kuala Lumpur untuk bersama memeriahkan kayuhan berkenaan,” katanya.

Tambah Roszei, kayuhan anjuran Gagasan Persatuan Belia Melaka bersama Kerajaan Negeri mahupun Kementerian Belia dan Sukan (KBS) itu mendapat kerjasama pelbagai agensi termasuklah 15 anggota Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan St John Ambulans dalam memastikan aspek keselamatan peserta.

PESERTA kayuh dalam kumpulan besar sambil diiringi marshal.
PESERTA kayuh dalam kumpulan besar sambil diiringi marshal.

“Kayuhan membabitkan peserta berusia tujuh hingga 50 tahun dikawal sepenuhnya oleh marshal iaitu terdiri daripada pasukan Samarinda, Cycle Xmtb Alor Gajah, PDRM dan JPJ.

“Mereka membantu peserta menempuh perjalanan dengan lancar terutama ketika melewati laluan mencabar antaranya kawasan Duyong yang mempunyai lima persimpangan selain bukit curam dan sempit.

“Untuk memastikan peserta selamat, mereka disarankan sentiasa bergerak dalam kumpulan besar.

“Apabila terpisah biasanya akan berkumpul kembali di dua perhentian ditetapkan.

“Salah satunya di Padang Temu, Ayer Molek sebelum menyambung kembali kayuhan sehingga selamat sampai kembali ke Dataran Pahlawan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Julai 2019 @ 9:55 AM