PEMANDANGAN lautan kabus di Tanah Tinggi Iyerweng.
PEMANDANGAN lautan kabus di Tanah Tinggi Iyerweng.
Kalidevi Mogan Kumarappa


“Kenapa ke Betong? Bukankah ia hanya satu ‘tempat tak baik’ yang terkenal?” Itu persoalan pertama yang timbul dalam fikiran penulis apabila terpilih mengikuti rombongan media anjuran Kelab Keamanan Selatan Thailand (SPMC) dan Persatuan Media Selatan Thailand (STMA) ke lima wilayah di selatan Thailand dengan kerjasama Smile Vision Holidays iaitu Betong, Narathiwat, Yala, Pattani dan Songkhla.

Meskipun pada mulanya timbul perasaan gusar dan takut berikutan sering disajikan berita pengeboman di empat wilayah selatan Thailand saban hari, dengan kawalan keselamatan termasuk bas yang diiringi oleh polis trafik dan anggota tentera Thailand selama lima hari menyebabkan rombongan 31 pengamal media termasuk penulis blog serta pemandu pelancong dari Malaysia berasa selamat sepanjang berada di sana.

Perjalanan selama lima hari dengan menaiki bas milik syarikat pelancongan Malaysia, Smile Vision Holidays itu meliputi laluan sejauh 624 kilometer merentasi Betong, Yala, Sungai Golok, Narathiwat, Pattani, Songkhla dan Danok.

Destinasi pertama yang dituju adalah wilayah Betong dan sebaik menjejak kaki ke pekan yang terletak bersempadan dengan Gerik, Perak nyata pandangan pertama penulis adalah salah dan pekan lama ini nyata mempunyai beberapa tempat yang menarik untuk dilawati bersama keluarga.

PERSEMBAHAN di Asian Cultural Village, Danok.
PERSEMBAHAN di Asian Cultural Village, Danok.

Lebih mengejutkan, wilayah Betong memegang rekodnya yang tersendiri di mana ia masih selamat daripada sebarang serangan sehingga ke hari ini.

Rekod berkenaan berjaya bukan saja hasil kawalan 24 jam oleh pihak berkuasa, malah bantuan oleh puluhan pasukan sukarelawan menambah keunikan wilayah itu.

Dalam pertemuan penulis bersama Ketua Polis Sempadan Daerah Betong, Leftenan Kolonel Chetvit Neearhink mereka bekerja siang malam demi keselamatan dan keamanan daerah itu.

Meskipun tidak menerima gaji tambahan untuk tugas murni itu, mereka berpuas hati kerana dapat mewujudkan rasa selamat dalam kalangan penduduk tempatan dan pelancong asing.

Bagi Pegawai Daerah Betong, Damrong Desakul pula, keberadaan pasukan kawalan di sekitar kawasan panas akan membuatkan pelancong berasa selamat dan selesa ketika berada di situ.

Kedua-dua ketua agensi pentadbir di Betong itu dalam usaha untuk meningkatkan bilangan pelancong ke wilayah selatan Thailand yang mana setakat ini, sepanjang tahun lalu seramai 700,000 pelancong melawat wilayah berkenaan.

Selepas menyaksikan layanan mesra pihak berkuasa dan penduduk setempat di Betong, kami diminta untuk bersiap pada awal pagi keesokannya untuk menyaksikan keindahan Betong pada awal pagi.

PASUKAN keselamatan di daerah Betong membuat perbarisan untuk taklimat sebelum memulakan tugas menjaga keamanan.
PASUKAN keselamatan di daerah Betong membuat perbarisan untuk taklimat sebelum memulakan tugas menjaga keamanan.

Pada mulanya penulis dan rakan lain berasa malas untuk bangun seawal jam 3 pagi, namun sebaik tiba di tanah tinggi Iyerweng yang terletak pada ketinggian 621 meter dari aras laut, nyata pengorbanan perjalanan lebih dua jam ke puncak bukit itu tidak sia-sia.

Penulis terpukau melihat keindahan lautan kabus putih pada awal pagi itu dan apabila gambar dirakam pada posisi yang betul, ia kelihatan seolah-olah berdiri di atas laut putih.

Disebabkan lautan kabus itulah Betong digelar ‘Pekan Dalam Kabus’ atau ‘The City in the Fog’ dan lautan kabus itu juga boleh dilihat 360 darjah di puncak Gunung Silipat yang mempunyai ketinggian 609 meter dari aras laut.

Nyata dengan pembangunan menara skywalk yang bakal dibina di Iyerweng bersama kelengkapan solat dan tempat letak kereta, selain Lapangan Terbang Betong yang akan siap pada 2019, pelancong dari Malaysia akan mampu menikmati khazanah alam yang tersembunyi itu dengan mudah terutamanya bagi pencinta alam.

Selain menikmati keindahan ciptaan Tuhan itu, pelancong juga boleh mengikuti lebih 30 aktiviti dan tempat yang antaranya hutan Halabala, Air Terjun Pelangi dan Jeram Sungai Pattani di Betong.

PENGUNJUNG menikmati pemandangan lautan kabus di Tanah Tinggi Iyerweng yang terletak di Betong.
PENGUNJUNG menikmati pemandangan lautan kabus di Tanah Tinggi Iyerweng yang terletak di Betong.

Mengenai pembinaan Lapangan Terbang Betong pula, penulis dan kumpulan wartawan dari Malaysia merupakan rombongan media terawal yang menjejakkan kaki ke tapak pembinaan lapangan terbang domestik seluas 2,475 hektar itu.

Menurut jurutera projek, Winit Suwankong projek yang dimulakan pada 29 Oktober tahun lalu dengan kos 1.3 bilion baht hanya akan menerima pesawat kecil yang berkapasiti 50 hingga 70 tempat duduk dengan tiga penerbangan setiap hari buat peringkat permulaan.

Dengan pembinaan lapangan terbang di wilayah paling selatan di bumi Gajah Putih itu, penduduk tempatan mahupun pelancong asing dari Hatyai atau Bangkok dapat mengunjungi Betong melalui laluan udara.

Buat masa sekarang, penduduk dari Hatyai atau Bangkok perlu menggunakan jalan darat untuk ke Betong dan dengan menggunakan jalan darat ia akan mengambil masa lebih kurang enam jam perjalanan.

PENULIS bersama jurugambar di tapak pembinaan Lapangan Terbang Betong.
PENULIS bersama jurugambar di tapak pembinaan Lapangan Terbang Betong.

Betong juga mempunyai tarikan lain seperti peti surat terbesar di dunia yang terletak di tengah-tengah pekan, selain terkenal dengan pelbagai masakan berasaskan ayam yang bakanya diimport dari China dikenali sebagai ayam Betong.

Peti pos berusia 90 tahun setinggi tiga meter dan ukur lilit 1.5 meter itu terletak di Jalan Sukkayang berhampiran Menara Jam dan ia masih diguna sehingga kini.

Sepanjang perjalanan dari Betong ke Yala, sejauh 120 kilometer dengan jalan yang hanya mempunyai dua lorong selain selekoh tajam lebih kurang 50 kilometer, lebih 20 sekatan jalan raya perlu dilalui, namun ironinya penduduk tempatan menjalankan kegiatan harian mereka seperti tiada apa yang berlaku.

Yala digambarkan sebagai pekan terbersih dengan slogan Bandar Mempesona Sempadan Wilayah Selatan, manakala Pattani meskipun bukan tergolong lokasi pelancongan popular ditambah dengan ketidakstabilan politiknya, buminya yang berselirat dengan sungai dan pantai, mewah khazanah alam selain menawarkan banyak sejarah silam memberi pengalaman yang cukup berbeza kepada penulis.

PEKERJA menjemur ikan masin di Tanjong Pauh, Pattani.
PEKERJA menjemur ikan masin di Tanjong Pauh, Pattani.

Antara pengalaman yang sukar dilupakan adalah ketika diminta mencuba garam manis di Kampung Ban Bana di Pattani di mana keterujaan kami untuk merasa garam manis menjadi hampa kerana ia berasa masin seperti garam biasa.

Rupanya, garam manis itu hanya panggilan pada garam yang diusahakan penduduk kampung di sekitar Pattani terutama yang tinggal di kawasan berdekatan dengan laut.

Meskipun sudah diusahakan sejak beratus tahun dulu, penduduk di situ masih mengekalkan cara tradisional dalam pemprosesan yang menjadikan ia antara tarikan pelancong ke Pattani yang dahulunya dikenali dengan nama Langkasuka.

Garam manis Pattani ini yang terhasil melalui percampuran air laut dan air tawar itu dikatakan mempunyai khasiat tersendiri terutama untuk kesihatan serta kecantikan kulit.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 November 2017 @ 3:13 AM