BERSAMA motosikal Yamaha Y15ZR yang digunakan untuk berkelana secara solo di Thailand.
BERSAMA motosikal Yamaha Y15ZR yang digunakan untuk berkelana secara solo di Thailand.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


Wanita berusia lima siri ini adalah pesakit kanser payudara tahap tiga yang sudah menjalani rawatan kemoterapi sebanyak 23 sesi.

Walaupun diuji masalah kesihatan, tetapi dia berjiwa kental kerana keberaniannya menunggang motosikal skuter SYM 200 dan Yamaha Y15ZR secara solo berkelana ke 12 lokasi di Thailand sejak 2021.

Antara lokasi yang sudah dijelajahinya ialah Phuket, Krabi, Pathalung, Trang, Satun, Songkhla Hatyai, Pattani, Narathiwat, Yala, Betong dan Sadao.

Sharifah Mohamed, 55, berkata, pengembaraan solo terakhirnya ialah sebelum Ramadan lalu di wilayah Satun, Yala dan Pattani selama tiga hari.

Menurutnya, meskipun ada yang berpendapat aktiviti dilakukan berisiko dan membahayakan keselamatan, tetapi dia mempunyai alasan tersendiri.

"Bermotosikal secara solo adalah aktiviti mengujakan dan menyeronokkan kerana menjadi satu proses 'penyembuhannya' daripada tekanan.

"Sebagai pesakit kanser, saya perlu bijak mengurus tekanan bagi mengelakkan kemurungan dan gangguan kerisauan yang akan menyukarkan proses penyembuhan.

"Selalunya saya akan leka menikmati keindahan tempat menarik di setiap destinasi yang saya singgah hingga terlupa penyakit dihidapi," katanya.

RAKAM kenangan di tepi lebuh raya di Thailand.
RAKAM kenangan di tepi lebuh raya di Thailand.

Ibu empat cahaya mata itu berkata, dia pernah melalui fasa kemurungan selepas didiagnosis penyakit berkenaan.

"Sangat tidak seronok berada dalam fasa ini yang berasakan seolah-olah kehilangan diri sebenar.

"Pada masa itu, air mata umpama peneman setia, emosi tidak stabil dan tertekan mengenangkan ujian dihadapi.

"Saya mula mendapat sedikit ketenangan apabila berdamai dengan takdir dan bersangka baik terhadap ujian daripada Allah SWT," katanya.

DI hadapan Pakbara Viewpoint.
DI hadapan Pakbara Viewpoint.

Selain itu, wanita yang menetap di Pulau Pinang itu berkata, dia kekal dengan hobi terbabit kerana kematian boleh berlaku di mana-mana sahaja.

"Semestinya sepanjang pengembaraan solo ini, pergantungan saya kepada Allah SWT sangat tinggi.

"Alhamdulillah sepanjang hampir tiga tahun bergelar pengembara solo, belum pernah berlaku insiden tidak diingini.

"Malah, kehadiran saya disambut baik masyarakat di setiap lokasi yang saya singgah," katanya.

BERGAMBAR di hadapan terowong Betong, Thailand bersama motosikal skuter SYM 200.
BERGAMBAR di hadapan terowong Betong, Thailand bersama motosikal skuter SYM 200.

Nenek empat cucu itu berkata, kerana minat kepada aktiviti berkenaan juga dia tidak kisah pakaiannya basah meredah hujan ketika pengembaraan, asalkan tiba di destinasi yang dituju.

Katanya lagi, pengembaraan solonya bermula dari Pulau Pinang yang memasuki Thailand melalui tiga pintu sempadan berlainan iaitu Wang Keliang, Perlis, Bukit Kayu Hitam (Kedah) dan Pengkalan Hulu.

"Saya banyak merujuk kumpulan 'The Solo Rider (Malaysia)' dalam Facebook sebagai panduan untuk pengembaraan setiap wilayah di Thailand.

"Malah, saya juga menggunakan aplikasi Google Maps untuk mengenal pasti jalan ke lokasi yang hendak dituju," katanya.

Menurutnya, atas faktor usia dia berehat antara 10 hingga 15 minit pada setiap dua jam menunggang motosikal.

PESAKIT kanser payudara yang aktif menjelajah solo ke Thailand.
PESAKIT kanser payudara yang aktif menjelajah solo ke Thailand.

"Buat masa ini saya berehat daripada pengembaraan solo kerana tangan patah akibat kemalangan di Pulau Pinang.

"Rakan-rakan mengusik mengatakan saya menunggang motosikal jauh ke Thailand tanpa kecelakaan, tetapi insiden ini menimpanya ketika bukan pengembaraan solo," katanya.

Namun, katanya, minat terhadap aktiviti itu tidak pernah pudar dan berhasrat mahu melengkapkan misi pengembaraan solo di semua wilayah di Thailand pada masa akan datang.

Berkongsi pengalaman didiagnosis kanser payudara, Sharifah berkata, dia disahkan menghidap penyakit berkenaan pada 2016 kerana ada benjolan pada salah satu organ berkenaan.

"Saya menjalani pembedahan membuang payudara pada 2017 dan menjalani rawatan kemoterapi selama dua tahun.

"Malah, saya mempunyai sejarah ahli keluarga menghidap penyakit ini iaitu kakak dan adik. Itu memberi kesedaran untuk membuat pemeriksaan serta tidak menyangka mendapat nasib sama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2024 @ 6:20 AM