MELALUI kawasan tinggi memerlukan stamina yang kuat.
MELALUI kawasan tinggi memerlukan stamina yang kuat.
Hafiz Ithnin


Hampa dan kecewa! Dua perasaan ini tidak dapat disorokkan penulis ketika kali pertama menyertai larian denai ultra di Betong yang terletak di Wilayah Yala, Thailand baru-baru ini.

Ini kerana penulis gagal untuk menamatkan perlumbaan mengikut sub masa penamat (Sub Cot) yang ditetapkan.

Walaupun lewat hanya enam minit tiba di Sub Cot kedua, ia menghancurkan harapan untuk meneruskan perlumbaan sejauh 50 kilometer (km) itu yang berbaki kira-kira 25km lagi.

Apatah lagi, ini adalah kali pertama penulis gagal menamatkan perlumbaan sepanjang aktif di dalam larian ultra denai.

Di sisi positif, persediaan tidak mencukupi mungkin menjadi sebab perkara itu berlaku dan benarlah untuk berlumba di dalam trek denai bukan sesuatu yang mudah kerana sebarang kemungkinan boleh berlaku walaupun sudah mempunyai pengalaman dalam jarak itu.

Acara larian itu ialah Amazean Jungle Thailand oleh Ultra- Trail du Mont-Blanc (UTMB) iaitu salah satu siri larian dunia oleh UTMB di Asia.

Bagi peminat larian ultra UTMB bukan sesuatu yang asing kerana setiap kejayaan larian di dalam siri yang mempunyai jenama UTMB menjadi perhatian pelari ultra mengumpul mata ke acara dunia utama di Chamonix di Perancis.

Amazean Jungle Thailand adalah satu daripada siri UTMB yang terdekat di Malaysia kerana ia diadakan di Betong, mengambil masa hanya kira-kira enam jam memandu dari Kuala Lumpur ke lokasi perlu

mbaan. Justeru, ia menjadi acara yang mendapat perhatian pelari ultra Malaysia untuk menyertainya.

Ketika penulis tiba di perkampungan acara itu di tengah-tengah pekan Betong, ternyata berasa kagum dengan aura perlumbaan itu kerana kerajaan Thailand begitu serius menganjurkan acara berkenaan.

Bagi mereka yang berada di lokasi itu dapat merasai festival larian yang sebenar kerana ia bukan sekadar membabitkan perlumbaan tetapi 'menjual' produk pelancongan tempatan kepada pengunjung asing khasnya di Wilayah Yala.

PESERTA juga perlu meneruskan perlumbaan dalam keadaan gelap.
PESERTA juga perlu meneruskan perlumbaan dalam keadaan gelap.

Amazean Jungle Thailand menawarkan lima kategori jarak larian iaitu 10km (Betong10), 25km (Betong25), 50km (Betong50), 100km (Betong100) dan 160km (Betong160) dengan mendapat sambutan seramai 1,604 pelari. Sementara itu, 29 peratus jumlah peserta terdiri daripada rakyat Malaysia iaitu di tangga kedua selepas peserta dari Thailand.

Penulis sempat menemu bual Pengarah Acara Amazean Jungle Thailand, Bunjarat Suharitdamrong.

Katanya, Perdana Menteri Thailand, Chan O Cha melihat acara larian denai sebagai satu peluang di negara itu sejak 2019.

"Perdana Menteri Thailand begitu kuat menyokong acara ini bagi memperkenalkan Thailand sebagai destinasi acara denai di peringkat antarabangsa.

"Kementerian Sukan dan Pelancongan Thailand memberi tanggungjawab kepada Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand untuk melaksanakan acara ini selepas berjaya melaksanakan acara siri larian dunia pertama di Thailand yang dikenali sebagai Doi Inthanon Thailand oleh UTMB pada 2022," katanya.

Jelasnya, Amazean Jungle Thailand yang diadakan di Betong bagi membantu menjadikan Wilayah Yala sebagai satu daripada destinasi pelancongan menerusi sukan dan membantu memulihkan imej wilayah berkenaan yang sering terpalit dengan isu pergolakan.

AKSI peserta larian yang melalui pelbagai cabaran dalam pelbagai bentuk muka bumi.
AKSI peserta larian yang melalui pelbagai cabaran dalam pelbagai bentuk muka bumi.

"Daripada segi keunikan acara ini pastinya mempunyai cabaran tersendiri apabila perlu melalui laluan denai yang diketahui umum mempunyai pelbagai bentuk muka bumi.

"Selain itu cuaca panas menjadi lebih cabaran kepada peserta untuk menamatkan larian dan mereka perlu bersedia dengan keadaan kering," katanya.

Ketika penulis berada di dalam acara itu ternyata cuaca panas mungkin melebihi 40 darjah Celsius yang menjadi cabaran utama kepada barisan peserta untuk meneruskan larian.

Bagi mereka yang berjaya menamatkan acara itu mengikut masa yang ditetapkan atau lebih pantas sememangnya satu pencapaian terbaik.

Mengenai pelancongan sukan yang dibawakan Amazean Jungle Thailand oleh UTMB, penulis boleh katakan ia adalah acara yang patut dijadikan contoh.

Antara yang menarik perhatian penulis adalah sistem pembelian makanan yang disubsidikan oleh penganjur kepada peserta hanya perlu menggunakan kod QR yang terdapat pada 'kad pengenalan' peserta.

Penulis difahamkan terdapat 200 hingga 250 kedai makanan yang mengambil bahagian di Betong yang sememangnya memberi kemudahan kepada peserta untuk membeli makanan tanpa mengeluarkan wang persendirian.

Lebih unik, pelepasan semua kategori diadakan di dalam terowong terkenal di Betong, Terowong Mongkhonrit yang menjadi tarikan kepada pengunjung dalam acara berkenaan.

Pada hemat penulis, Amazean Jungle Thailand bukan sahaja menawarkan satu pengalaman perlumbaan yang mencabar malah memberi peluang kepada pengunjung asing menerokai keunikan Betong.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Februari 2023 @ 7:00 AM