AZHAR memeriksa keadaan pokok bonsainya.
AZHAR memeriksa keadaan pokok bonsainya.
Muhamaad Razis Ismail


POKOK bonsai antara tumbuhan hiasan yang sesuai untuk menyerikan landskap menarik di kediaman.

Kebiasaannya pokok bersaiz kecil yang ditanam di dalam pasu ini disusun rapi di halaman rumah.

Keunikan pokok ini sudah pasti terletak pada seni bonsai untuk menghasilkan bentuk yang unik dan menarik.

Bagi pesara guru, Azhar Isa, 59, dia mula berjinak-jinak dengan pokok bonsai sejak 15 tahun lalu di kediamannya di Wakaf Bharu, Kelantan.

Bermula daripada sekadar 'suka-suka' kini dia memiliki hampir 40 pokok bonsai termasuk jeliti, bunga kertas, jambu kerikil dan ixora.

Melihat deretan pokok bonsai di halaman kediamannya, bukan sahaja membentuk landskap menarik malah memberi ketenangan kepada sesiapa sahaja yang bertandang.

Selain dijadikan sebagai landskap dan hobi, pokok bonsai juga mampu menjana pendapatan yang lumayan kerana harganya boleh mencecah belahan ribu ringgit.

Bapa kepada enam cahaya mata ini berkata, minat terhadap seni mendorongnya untuk terbabit secara serius.

Katanya, minat terhadap seni lukis ketika masih menjadi guru, diperkembangkan lagi dengan menanam pokok bonsai di kediamannya.

SEBAHAGIAN pokok bonsai yang ditanam Azhar di halaman kediamannya.
SEBAHAGIAN pokok bonsai yang ditanam Azhar di halaman kediamannya.

"Bagi saya, menanam pokok bonsai juga adalah salah satu cabang seni. Untuk membentuk pokok itu juga ada seninya.

"Kita dapat melihat kelembutan curahan seni pemilik bonsai melalui bentuk yang dihasilkan.

"Melalui pemerhatian alam, pengalaman dan kreativiti pemilik, terdapat banyak bentuk yang boleh dihasilkan termasuk pokok ditiup angin, pokok di lereng gunung dan pokok berbentuk air terjun," katanya.

Menurutnya, pada masa sama, pemilik perlu memiliki kesabaran tinggi kerana proses tumbesaran pokok bonsai sangat perlahan.

"Bagi saya masa yang lama bukan masalah besar kerana perkara paling penting ingin menikmati setiap proses membentuk dan menjaga pokok ini.

"Apabila pokok dijaga daripada kecil dapat hidup dengan sihat dan subur, ia memberikan kepuasan tidak dapat digambarkan dengan kata-kata," katanya.

Katanya, setiap hari, dia memperuntukkan minimum empat jam untuk penjagaan setiap pokok bonsainya.

"Pokok disiram sekurang-kurangnya dua kali sehari iaitu pada sebelah pagi dan petang. Untuk pembajaan pula saya lakukan sebulan dua kali.

"Saya periksa setiap pokok dengan teliti untuk memastikan tiada gangguan serangga perosak atau kulat," katanya.

Dia mengakui selain sesuai untuk landskap, pokok ini sesuai dijadikan sebagai terapi untuk meredakan tekanan.

"Apabila saya 'berinteraksi' dengan pokok bonsai pada setiap pagi, jiwa menjadi tenang. Sebab itu saya tidak kisah luangkan masa yang lama dengan pokok," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Oktober 2023 @ 6:21 AM