PELBAGAI pokok bonsai menghiasi halaman rumah.
PELBAGAI pokok bonsai menghiasi halaman rumah.
POKOK Asam Jawa.
POKOK Asam Jawa.
Muhamaad Razis Ismail


MINAT mendalam terhadap pokok bonsai mendorong seorang pesara kerajaan menjadikan halaman rumahnya sebagai landskap di kediamannya di Taman Rasa Sayang, Jitra, Kedah.

Bermula sejak 1987 sebagai hobi mengisi masa lapang, kini Kholin Ab Hamid, 66, memiliki 307 bonsai yang ditanam di halaman rumahnya termasuk dari tanaman jeliti, sinai, bunga kertas, asam jawa, ficus dan Chinese tea.

Daripada jumlah itu, sebanyak 102 pokok ditanam di dalam pasu manakala selebihnya di atas tanah di sekeliling kediamannya.

Kini, rumahnya, tidak ubah seperti sebuah taman yang dipenuhi dengan pelbagai jenis bonsai.

Jadi tidak hairanlah, bapa kepada dua anak ini pernah memenangi tempat pertama dalam Pertandingan Landskap Peringkat Daerah Kubang Pasu dan tempat ketiga Pertandingan Landskap sempena Hari Kebangsaan Negeri Kedah pada 1995/1996.

Kholin berkata, minat tercetus apabila tertarik dengan keunikan pokok itu dan seni membentuk pokok bonsai.

KHOLIN sentiasa pastikan pokok bonsai dalam keadaan baik.
KHOLIN sentiasa pastikan pokok bonsai dalam keadaan baik.

Katanya, pada ketika itu dia tidak dapat bayangkan bagaimana pokok yang besar boleh dibentuk menjadi kecil dan ditanam dalam pasu.

"Sebagai permulaan, saya bersama rakan pergi ke kawasan hutan di Changlun untuk mencari pokok sesuai dijadikan bonsai.

"Bermula dari situ, setiap petang selepas bekerja, saya luangkan masa dengan pokok bonsai

"Kini, selepas bersara, saya mempunyai lebih banyak masa untuk fokus kepada tanaman ini," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Menurutnya, rutin hariannya bermula seawal jam 7 pagi untuk memastikan pokok bonsai sentiasa dalam keadaan baik.

LANDSKAP bonsai di kediaman Kholin.
LANDSKAP bonsai di kediaman Kholin.

"Saya mulakan dengan membersihkan kawasan sekitar rumah dan kemudian menyiram serta memastikan pokok dalam keadaan baik sehingga 12 tengah hari.

"Selepas solat Asar, sekali lagi saya luangkan masa dengan pokok bonsai di sekitar rumah," katanya.

Katanya, penjagaan pokok bonsai memerlukan minat dan komitmen yang tinggi untuk memastikan ia dapat hidup dengan baik.

"Kita perlu sentiasa memantau pertumbuhan pokok dan mengawal pembesarannya menerusi proses memangkas.

"Untuk membentuknya juga memerlukan teknik dan kreativiti untuk pastikan ia seimbang serta cantik. Biasanya idea saya peroleh, selepas melihat landskap ketika bercuti ," katanya.

SEPERTI berada di sebuah taman bonsai.
SEPERTI berada di sebuah taman bonsai.

Ditanya berkenaan susun atur pokok, Kholin berkata semuanya dilakukan secara spontan.

Malah pokok bonsai yang ditanam bukan untuk jual biarpun pernah mendapat permintaan.

"Saya tanam ini untuk kepuasan diri dan tidak berniat untuk jual.

"Bukan apa, saya takut menyesal berbuat demikian kerana bimbang pokok yang dijual berkemungkinan tidak dijaga dengan baik pemilik baharu sehingga pokok itu mati," kata pencinta bonsai itu.

SENTIASA pastikan rumah dalam keadaan bersih.
SENTIASA pastikan rumah dalam keadaan bersih.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Februari 2021 @ 6:20 AM