RUANG tamu yang membangkitkan aura ketenangan untuk bercuti.
RUANG tamu yang membangkitkan aura ketenangan untuk bercuti.
Hafiz Ithnin


PENGALAMAN peribadi sememangnya boleh menjadi inspirasi untuk mencipta pesona tersendiri dalam menata hias kediaman.

Bagi wanita berusia 34 tahun ini, dia begitu gemarkan keindahan berada di pantai sambil melihat ketenangan air laut memberikan inspirasi kepadanya untuk mengadunkan elemen alam semula jadi ke dalam dekorasi kediamannya.

Melangkah masuk ke dalam kediaman si pemilik nama Alia Nabilla Yusof di Klebang, Melaka itu terasa begitu tenang sekali kerana warna yang dipilih dan susunan perabot ringkas menghidupkan jiwa pengunjung untuk bersantai.

Auranya begitu sesuai sekali dengan menjadikan kediaman 670 kaki persegi itu sebagai rumah sewa bagi mereka yang ingin bercuti.

Apatah lagi, kediaman itu yang terletak dengan kawasan pantai sudah semestinya memerlukan kebijaksanaan si pemilik untuk mengadunkan pesona pantai dan kediaman untuk menghidupkan sebuah pakej percutian yang menarik kepada si penyewa.

Alia berkata, sebelum dia dan suami mengambil keputusan untuk membeli kediaman satu bilik itu, mereka pernah menetap selama lapan tahun di Tawau, Sabah apabila kebiruan laut dan kecantikan pantai sudah sinonim dengan mereka.

PANEL kayu menjadi hiasan yang ringkas dan mempunyai kesinambungan rona.
PANEL kayu menjadi hiasan yang ringkas dan mempunyai kesinambungan rona.

"Apabila saya membeli kediaman ini dan bercadang untuk dijadikan sebagai rumah sewa buat mereka yang ingin bercuti, saya memutuskan untuk mempunyai konsep 'coastal blue' yang terdiri daripada elemen laut, pasir dan pantai.

"Saya menggunakan khidmat pereka hiasan dalaman profesional, Inspirasi Eladeko yang mampu menjadikan kediaman ini mempunyai konsep yang diinginkan oleh saya," katanya.

Jelasnya meskipun menggunakan khidmat pereka dalaman profesional tetapi dia tidak hanya meletakkan semua keputusan kepada pihak berkenaan.

"Dalam dekorasi kediaman ini, ia bermain dengan seni dan setiap individu mempunyai penilaian yang berbeza mengenai keindahan dalam memilih rona warna, jenis perabot dan aksesori.

RONA lembut yang tenang di dalam bilik tidur.
RONA lembut yang tenang di dalam bilik tidur.

"Jadi sebelum pereka dalaman memutuskan untuk mengecat atau memilih perabot serta aksesori, mereka akan memberikan saya beberapa cadangan bagi dekorasi kediaman ini," katanya.

Katanya, dengan bantuan pereka dalaman, mereka dapat menyiapkan dekorasi kediaman sepenuhnya yang mengambil masa tiga hari sahaja.

"Saya agak terkejut juga kerana asalnya kediaman ini dekorasinya kosong dan mereka hanya mengambil masa tiga hari sahaja untuk menyiapkan segala proses menata hias.

"Namun, sebelum itu pastinya sudah ada lukisan tiga dimensi supaya saya sebagai pemilik boleh membayangkan situasi kediaman selepas didekorasikan," katanya.

PENCAHAYAAN menjadikan kediaman tampak luas.
PENCAHAYAAN menjadikan kediaman tampak luas.

Jelasnya, memandangkan kediamannya tidak mempunyai saiz yang besar, dia dan pereka dalaman memilih warna putih sebagai rona utama di dalam kediaman.

"Cuma di beberapa bahagian saya memilih untuk mempunyai warna biru air kerana ingin menjadikannya sebagai titik fokal di dalam ruang dan dalam masa yang sama juga membawa tema awan dan air, sesuai dengan konsep yang diinginkan.

"Gabungan kedua-dua warna itu ternyata tampak serasi kerana dalam kategori warna lembut dan tidak nampak janggal," katanya.

Dari segi hiasan dinding, dia memutuskan untuk mencari sedikit kelainan dengan meletakkan panel kayu hiasan di dinding yang menempatkan televisyen dan di belakang sofa utama.

PEMILIHAN perabot yang mempunyai warna mengikut konsep.
PEMILIHAN perabot yang mempunyai warna mengikut konsep.

"Panel kayu ini juga mempunyai warna kayu asli yang harmoni dengan warna perabot dan langsir serta permaidani.

"Bagi saya pemilihan warna adalah amat penting bagi mendekorasi kediaman kerana ia boleh menjadikan kediaman lebih tampak luas dan dalam masa yang sama menghidupkan konsep yang kita inginkan," katanya.

Tambahnya lagi, memandangkan kediaman itu dijadikan sebagai rumah sewa untuk pengunjung bercuti, mereka amat mementingkan keselamatan kanak-kanak.

"Saya memastikan kediaman ini tidak sarat dengan pelbagai perabot dan paling penting setiap kabel elektrik mesti tersorok supaya lebih mesra kepada tetamu yang mempunyai kanak-kanak.

"Walaupun kediaman ini ringkas tetapi ia lengkap dengan semua kemudahan untuk penghuni supaya mereka dapat bercuti dengan selesa," katanya.

RUANG makan dan dapur yang kemas.
RUANG makan dan dapur yang kemas.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Februari 2023 @ 6:40 AM