PEMILIHAN lukisan bertemakan flora dan fauna yang menjadi titik fokal di ruang makan.
PEMILIHAN lukisan bertemakan flora dan fauna yang menjadi titik fokal di ruang makan.
Ruang tamu yang mengabungkan elemen moden, tradisional dan lestari.
Ruang tamu yang mengabungkan elemen moden, tradisional dan lestari.
Hafiz Ithnin


ADUNAN amat serasi! Itu yang boleh penulis katakan ketika mengunjungi kediaman milik Ezilea Omar kerana terasa begitu tenang dan mewah.

Sentuhan dekorasi itu memberi roh kepada kediaman teres dua setengah tingkat bersaiz 1,300 kaki persegi.

Bukan berlebih-lebihan memuji tetapi itulah hakikatnya sebaik sahaja penulis menjengah masuk ke kediaman itu yang baru didiami Ezilea dan keluarganya pada Mei lalu.

Ezilea berkata, hiasan dalaman keluarganya adalah ilham dia bersama suami yang sebenarnya mempunyai cita rasa berbeza dalam menghias kediaman kerana Ezilea lebih cenderung kepada elemen elegan. Manakala, suaminya lebih berminat kepada sesuatu yang tampak maskulin.

Katanya, di awal perancangan hiasan dalaman kediaman mereka agak sukar untuk mendapat kata sepakat kerana mereka berdua mempunyai minat yang berbeza.

"Akhirnya, selepas beberapa bulan kami melihat satu konsep kediaman di luar negara yang mengabungkan tiga unsur utama iaitu moden, klasik dan mengekalkan nilai kelestarian dengan meletakkan banyak tumbuhan di dalam kediaman.

Mementingkan kekemasan aturan di ruang dapur walaupun ringkas.
Mementingkan kekemasan aturan di ruang dapur walaupun ringkas.

Elemen warna emas bagi aksesori di bilik yang nampak mewah.
Elemen warna emas bagi aksesori di bilik yang nampak mewah.

"Bagi kami, konsep itu sesuai kerana ia mengabungkan minat saya dan suami yang pada awalnya agak sukar untuk disatukan. Malah, konsep ini juga sebenarnya lebih malar hijau jika di luar negara," katanya.

Melihat kepada ruang utama keluarga itu, mereka mengabungkan perhiasan dan perabot berunsur logam dan kayu. Manakala rona lembut pada dinding dipilih menonjolkan lagi perabot yang diletakkan di ruang itu.

Tidak sekadar itu, elemen kediaman Inggeris yang sinonim dengan kewujudan pendiang turut terdapat di ruang utama keluarga berkenaan yang diisi cermin berbingkai kayu di dalamnya.

Setiap bucu kediaman itu juga diletakkan pelbagai tumbuhan hidup serba hijau menaikkan lagi rasa segar dan selesa. Apatah lagi, tumbuhan hiasan dalaman itu diletakkan di dalam pasu yang tidak sarat dengan corak.

Ezilea berkata, konsep tanaman pokok di dalam ruang adalah perkara yang disukainya dan suami kerana mereka berdua gemarkan suasana hijau yang sinonim dengan perasaan tenang. Malah, aktiviti menjaga tumbuhan itu kini menjadi hobi mereka sekeluarga bagi memastikan ia terus hidup segar.

"Di setiap bilik kami tidak menghiasnya dengan perabot yang begitu sarat dan rona putih menjadi pilihan dinding kerana perabot di dalamnya majoriti berwarna hitam, warna alam dan sedikit rona emas di beberapa bahagian perincian bagi memastikan ia tampak seperti sebuah bilik hotel mewah.

Hiasan porselin yang tampak eksklusif.
Hiasan porselin yang tampak eksklusif.

Dalam pendiang yang diisi cermin dan potongan kayu.
Dalam pendiang yang diisi cermin dan potongan kayu.

"Jika di bilik anak-anak pula, kami berdua memberi peluang kepada mereka bertiga untuk membuat pilihan konsep yang mereka inginkan tetapi tidak lari dengan konsep utama kediaman ini. Bagi saya dan suami, bilik anak-anak adalah ruang privasi mereka untuk berehat yang perlu kena pada jiwa masing-masing," katanya.

Ketika ditanya mengenai kerja hiasan dalaman, katanya, mereka berdua tidak menggunakan pereka hiasan dalaman profesional dan hanya merujuk kepada laman web. Setakat ini, kediaman itu, hanya 90 peratus siap dari segi hiasan dalaman.

"Kami juga tidak terburu-buru untuk menghias kediaman ini yang mengambil masa hampir dua tahun untuk mendapatkan sentuhan diinginkan. Selain itu, saya dan suami juga sentiasa meninjau harga pasaran barangan rumah untuk mendapatkan perabot yang mampu milik dan berkualiti.

"Bagi kami berdua, hiasan dalaman penting kerana ia adalah tempat untuk kami sekeluarga berehat dan bersantai. Paling penting, bijak mengatur kewangan dan memilih konsep yang sesuai dengan cita rasa sekeluarga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Julai 2020 @ 7:00 AM