Aniza Zainudin


PANDUAN konsep moden glamor bagi sentuhan dalaman kediaman tidak pernah gagal mendatangkan aura istimewa kepada isi rumah mahupun tetamu.

Nikmati saja perasaan kagum ketika melangkah masuk ke hotel bertaraf bintang, suasana yang harmoni, haruman segar, pencahayaan elegan malah kombinasi perabot dan perhiasan memukau pandangan.

Begitu juga perasaan dialami penulis ketika mengunjungi kediaman pasangan Noor Akmar Mohamed Azmaili, 34, dan Mohd Yusri Yusof, 39, di pinggir ibu kota, baru-baru ini.

Sering mengikuti perkembangan sentuhan dekorasi Noor Akmar menerusi Instagram, membuatkan penulis terpanggil untuk menyaksikan sendiri garapan elegan wanita ini di syurga peribadinya.

Menetap di kediaman teres dua tingkat, kakitangan kerajaan ini mengakui konsep moden glamor adalah pilihan hati sebaik berpindah ke rumah berkenaan sejak tujuh tahun lalu.

NOOR Akmar.
NOOR Akmar.

“Bagi saya konsep moden glamor ini menarik dan memenuhi cita rasa peribadi, malah reka bentuk kediaman ini turut memberi kelebihan kepada saya untuk merealisasikannya.

“Saya turut memilih rona biru sebagai warna tema utama ketika menata hias, bukan hanya kerana warna kegemaran sebaliknya biru boleh mendatangkan aura tenang dan positif di rumah.

“Bagi cat dalaman, saya memilih warna ‘royal blue’ yang agak gelap, namun dipadankan bersama putih untuk menaikkan seri eksklusif.

“Jika diperhatikan di bahagian ruang tamu, saya menggabungkan beberapa skema warna untuk mengurangkan dominasi biru seperti kelabu, putih, hitam dan emas.

“Pilihan sofa, saya mempelbagaikan rekaannya bagi menampakkan idea suai padan di ruang fokus seperti sofa jenis ‘chesterfield’, ‘sofa bed’ dan ‘arm chair’.

“Oleh kerana sofa berwarna ‘kosong’, pilihan permaidani bercorak geometri dengan rona warna biru berbeza menyerikan permukaan lain. Selain itu, saya turut menambah aksesori kusyen bantal bermotif.

BIRU dan putih yang harmoni.
BIRU dan putih yang harmoni.

“Perabot tambahan lain seperti meja kopi pula dibuat daripada kaca dan besi berwarna emas bagi menampakkan sisi glamor.

“Struktur siling di ruang tamu agak tinggi memberi kelebihan kepada saya untuk menggunakan candelier sebagai pencahayaan utama, selain berfungsi sebagai hiasan mewah,” katanya.

Tidak menafikan elemen hijau, wanita ini turut memperindahkan lagi ruang tamu dengan pokok hijau semula jadi.

Tertarik dengan sudut bacaan di bahagian tepi tangga, Noor Akmar mengakui ruang itu nampak lebih eksklusif apabila dia bermain dengan rona hitam dan emas.

Menjengah ke tingkat atas kediaman yang memiliki empat bilik tidur ini, penulis dimaklumkan wujudnya ruang keluarga di bahagian lobi tangga.

Jelas Noor Akmar, ruang keluarga ini dikhaskan untuk mereka melakukan aktiviti lain termasuk menonton televisyen tanpa mengganggu ketenangan tetamu yang berkunjung.

KOMBINASI hitam dan emas yang mewah.
KOMBINASI hitam dan emas yang mewah.

Wanita ini turut mencipta ruang kerja sekali gus mempermudahkan pasangannya untuk fokus menyempurnakan dengan tugasannya.

Memasuki ruang privasi, bilik tidur utama keluarga ini kelihatan harmoni apabila ketenangan biru menjadi fokus utama. Bagi mencetuskan sisi romantik, Noor Akmar memilih cadar bermotif flora.

Berkongsi panduan, wanita ini berkata, idea untuk menata hias kediaman seharusnya mempunyai perancangan teliti kerana ia bakal membantu pemilik berbelanja mengikut kemampuan sendiri.

Mengamalkan konsep menabung, dia menegaskan penggunaan kad kredit semata-mata untuk mendekorasi kediaman agak berisiko kerana bimbang tidak mampu berdisiplin mengawal perbelanjaan.

Apabila berhajat memiliki satu-satu perabot, Noor Akmar melihat daripada aspek fungsi, ketahanan dan harga perlu dipertimbangkan.

Seperti ibu yang lain, wanita ini turut menekankan aspek disiplin dalam diri anaknya, malah jadual pembahagian tugas untuk setiap ahli keluarga ditetapkan, terutama pada hujung minggu.

Jelasnya, apabila mendidik anak pada awal usia mengenai penjagaan rumah, lebih mudah untuk menjadikannya amalan apabila dewasa kelak.

Meskipun diakui permulaannya sukar, namun lama-kelamaan semuanya menjadi lebih mudah.

Bercerita mengenai projek dekorasi pada masa terdekat, Noor Akmar berhasrat untuk menghasilkan ruang mencuci baju ‘outdoor’ yang pastinya mengikut perancangan awal.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 November 2019 @ 8:03 AM