RUANG tamu berkonsep London memberikan kepuasan kepada Azmir.
RUANG tamu berkonsep London memberikan kepuasan kepada Azmir.
Zaitie Satibi

Biarpun sibuk dengan kegiatan seni apabila kerap diundang membuat persembahan di negara jiran seperti Brunei Darussalam, Singapura dan Indonesia, penyanyi, Azmir Arif, 35, masih mempunyai masa untuk melakukan hobi menghias kediamannya di ibu negara.

Walaupun hanya menetap di rumah teres dua tingkat, ia tidak membataskan kreativiti Azmir mengubah kediaman berkenaan dengan hiasan dalaman bertemakan London. Ciri-ciri London dengan kuat dihadirkan dalam setiap elemen hiasan dalaman.

Elemen terbabit diterapkan melalui ikon London seperti bangunan, pondok telefon, bas dua tingkat, askar penjaga istana, pendiang api dan bendera Union Jack yang diaplikasikan pada ruang tamu, ruang istirahat, dapur serta ruang makan.

Menurut Azmir, beliau mendapat ilham menghias kediamannya dengan tema London selepas dua kali mengunjungi negara berkenaan dan membawa pulang pelbagai cenderahati .

“Saya gemar mengumpul pelbagai barangan untuk dijadikan koleksi sama ada dibeli ketika bercuti di luar negara atau dari penjual tempatan. Ketika berkunjung ke London, saya tertarik dengan beberapa barangan yang memaparkan ikon negara berkenaan dan membelinya.

“Lama-kelamaan saya tertarik dengan barangan karakter London ini dan mula mengumpulnya sebelum menjadikan ia sebagai tema untuk hiasan dalaman rumah,” katanya.

PONDOK telefon merah ikon London dalam ruang tamu.
PONDOK telefon merah ikon London dalam ruang tamu.

Ukuran ruang tamu kecil tidak menjadi masalah kepada Azmir untuk mengolahnya sesuai dengan konsep diinginkan. Beliau bijak menggabungkan perabot dan barang perhiasan lain sebagai latar ruangan itu.

Saat melangkah ke ruang tamu, mata penulis dijamu dengan suasana gaya British daripada hiasan jam dinding vintaj, pendiang api, radio lama, sofa kulit klasik dan bantal kusyen serta permaidani bendera Union Jack. Kertas hiasan dinding bercorak batu bata pula mencipta trend gaya Eropah.

Mata penulis juga tidak lepas-lepas memandang koleksi cenderahati pelbagai barangan bertema London yang unik. Ada yang disusun atas meja, dalam almari hiasan, malah ada sebahagiannya dijadikan pelengkap aksesori dinding.

Kehadiran pondok telefon merah yang sinonim dengan kota London menambah kesan pada ruangan ini. Jam besar berbentuk bulat yang digantung pada dinding pula simbol kepada Big Ben iaitu menara jam terkenal di London.

“Perabot dan aksesori dengan konsep bendera Union Jack adalah ornamen utama ruang tamu. Ia jelas kelihatan menerusi penggunaan permaidani, sofa tunggal, peti kayu yang dijadikan meja dan bantal kusyen.

“Sofa klasik warna coklat gelap dan dekorasi dinding dipenuhi jam analog pelbagai model untuk menjadikan ruang lebih santai. Saya mempunyai kira-kira 100 aneka jam analog termasuk jam almari.

“Jam analog juga sebahagian daripada koleksi saya dan pelbagai model jam yang memiliki karakter unik dimanfaatkan untuk mencantikkan ruangan dalam rumah,” katanya.

DEKORASI berkonsep London.
DEKORASI berkonsep London.

Warna turut memainkan peranan kerana ia dapat memberi impak kepada mood seseorang. Sehubungan itu, Azmir memilih merah sebagai warna dominan ruang tamunya. Rona merah membantu menonjolkan lagi aura positif atau karakter istimewa dalam dirinya.

“Merah bukan saja lambang berani, ia juga mengujakan dan membuatkan seseorang lebih bersemangat. Biarpun diganding bersama warna malap seperti hitam dan coklat gelap, ia kelihatan serasi dan terlihat sedondon digabungkan sebagai elemen penyeri serta pelengkap dekorasi.

“Warna berani ini juga menzahirkan mood bertenaga dan ceria. Setiap kali balik kerja, saya akan duduk seketika di ruang tamu untuk berehat melepaskan lelah. Segala penat dan tekanan kerja hilang sebaik melihat hiasan dalaman hasil usaha sendiri,” katanya.

 RUANG makan kecil tidak batas kreativiti.
RUANG makan kecil tidak batas kreativiti.

Azmir turut memperuntukkan satu sudut di ruang tamunya sebagai galeri mempamerkan keratan akhbar mengenai kerjaya seninya yang dibingkai kemas dan digantung di dinding. Pada sudut yang sama diletakkan sofa tunggal dan almari perhiasan menyimpan koleksi cenderahati.

Ruang makan juga dihias menggunakan paduan warna merah bagi memberikan suasana yang lebih hidup. Rekaan meja dan kerusi makan ala vintaj diserikan bekas lilin dan pasu bunga daripada tembaga sekali gus mencetuskan gaya British lama.

Lukisan besar gambar London lama dan jam klasik menghiasi dinding ruang makan. Azmir turut menyusun koleksi perkakas dapur dan porselin dalam almari hiasan khusus tatapan tetamu saat menjamu selera.

Bahagian dapurnya agak sempit, namun penggunaan rak dinding yang dipasang berhampiran sinki menjimatkan ruang. Bahagian bawah sinki juga diubah suai menjadi tempat penyimpanan pinggan mangkuk, gelas dan cawan.

RAK gantung jimat ruang dapur sempit.
RAK gantung jimat ruang dapur sempit.

Set karaoke

Azmir turut menjadikan bilik kecil di tingkat bawah sebagai tempatnya berlatih menyanyi dengan dilengkapi set karaoke. Namun, bilik itu kelihatan dihias mewah seumpama berada dalam kelab keahlian eksklusif dengan paduan warna merah dan emas serta aksesori unik yang melambangkan status tinggi.

Menaiki tangga menuju tingkat atas pula, penulis sekali lagi terpegun dengan hiasan sepanjang anak tangga. Ia seakan-akan galeri mini dengan poster filem dibingkai sama ada digantung pada dinding atau diletak atas meja bertiang tinggi. Pencahayaan daripada lampu sorot memberikan imej glamor. Hujung anak tangga pula diletakkan almari perhiasan untuk koleksi patung daripada figura watak filem dan komik terkenal.

BILIK karaoke dihias dengan koleksi unik.
BILIK karaoke dihias dengan koleksi unik.

Tiga kamar tidur di bilik atas lari daripada tema London, sebaliknya setiap bilik dihias dengan konsep berbeza. Bagi bilik tidur utama, Azmir menggunakan warna ungu untuk keseluruhan ruang termasuk set katil, permaidani, sofa, lampu terendak dan langsir.

Namun, ia digabungkan dengan dinding dan almari pakaian warna putih. Malah, warna putih juga digunakan pada perhiasan kristal dan aksesori. Ungu adalah warna menenangkan dan cukup sesuai digunakan dalam bilik tidur untuk merangsang tidur yang lena.

BAHAGIAN tangga dihias umpama galeri bergambar mini.
BAHAGIAN tangga dihias umpama galeri bergambar mini.

“Awalnya saya memiliki satu perhiasan kristal yang dihadiahkan peminat, namun saya terfikir untuk menjadikan kristal sebagai koleksi dan mula mengumpulnya. Tetapi, saya menghiasnya dalam bilik tidur kerana mahukan jadikan ia eksklusif berikutan harga yang mahal.

“Saya pilih biru muda untuk bilik tidur kedua, walaupun hiasannya ringkas kerana tidak banyak perabot digunakan tetapi saya lebihkan hiasan pada dinding dengan koleksi cermin muka. Biru juga warna yang mampu memberikan ketenangan pada ruang rehat.

“Bilik tidur ketiga digunakan untuk bermain permainan konsol video. Biarpun demikian, saya tetap menghiasnya dengan gaya bilik orang bujang dan memilih hijau warna keamanan. Disebabkan ruang yang kecil, penggunaan rak gantung dapat menjimatkan ruang, manakala bingkai gambar melengkapkan dekorasi,” katanya.

UNGU dan kristal melatari bilik tidur utama.
UNGU dan kristal melatari bilik tidur utama.

Garaj di luar rumah turut menjadi sasaran Azmir melepaskan kreativiti menghiasnya. Dua almari menyimpan koleksi bersama meja kayu empat kerusi untuk kegunaan bersantai di luar rumah, manakala kerusi buaian melengkapkan suasana.

Azmir turut membina taman mini dengan pokok hiasan dan hamparan rumput plastik menjadikan ia ruang untuk menikmati alam sekitar. Pasu besar diisi air ibarat kolam dengan ikan kecil berenang di dalamnya.

Penulis memuji usaha pelantun lagu Cinta Kita Berdua ini yang melakukan pengubahsuaian dan menghiasi rumahnya dengan idea dan rekaannya sendiri. Menurut Azmir, beliau tiada pengalaman dalam bidang hiasan dalaman, tetapi hasil usahanya mempelajari ilmu berkenaan daripada Internet dan rujukan majalah akhirnya membuahkan hasil.

GARAJ dengan taman mini untuk bersantai.
GARAJ dengan taman mini untuk bersantai.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Ogos 2018 @ 3:15 PM