NAIMAH gabungkan citarasa sendiri dan suami untuk konsep kediaman mereka.
NAIMAH gabungkan citarasa sendiri dan suami untuk konsep kediaman mereka.
Nurul Husna Mahmud


‘Syurga’ yang didiami Naimah Md Ludin bersama suami, Mohd Nazemi Baharin, dan dua anak mereka tampak berbeza daripada kediaman lain di Taman Desa Kenanga Kupang, Kedah.

Mana tidaknya, rumah jenis semi D setingkat lot tepi tampak tidak ubah seperti gaya rumah Inggeris apabila dihiasi pagar pancang serba putih.

Menurut Naimah yang juga guru, pagar berkenaan adalah tumpuan utama dan ia sebahagian daripada elemen penting tata hias luar yang diimpikan pada kediaman yang dibeli pada 2013.

Katanya, kini pagar itu diubah suai hampir sekali ganda panjangnya dan dianggarkan menelan belanja lebih kurang RM6,000.

Mujurlah suami yang mempunyai minat sama dalam tata hias ruang dan luaran kediaman turut memiliki kemahiran bertukang, lantas mengambil inisiatif sendiri melakukan kerja mengukur serta memasang pagar unik berkenaan.

KERJA kayu hasil tangan suami Mohd Nazemi Baharin menarik perhatian tetamu bertandang.
KERJA kayu hasil tangan suami Mohd Nazemi Baharin menarik perhatian tetamu bertandang.

“Ramai mengenali rumah saya disebabkan pagar pancang ini. Bagi orang luar terutama penghantar barang mereka mudah menemui rumah saya hanya disebabkan pagar putih ini.

“Bagi ahli keluarga dan kenalan pula, mereka gemar bertandang kerana sedia maklum dengan minat saya dalam kerja menata hias kediaman. Mereka kata rumah saya ini ala rumah ladang di luar negara.

“Sebenarnya sebelum berpindah ke Kedah pada 2017, saya pernah menata hias kediaman sebelum ini iaitu rumah sewa atau kuarters guru di Kuala Lumpur.

“Cuma konsep pilihan sebelum ini lebih cenderung kepada gaya klasik Inggeris yang sarat bunga ros dan ‘skirting.’ Namun apabila berpindah ke Kedah, disebabkan ini kediaman sendiri, idea atau ilham kombinasi cita rasa saya dan suami.

“Saya cenderung kepada gaya klasik Inggeris sementara suami pula sukakan gaya kedesaan Inggeris iaitu rupa kayu yang lusuh tetapi ada sentuhan kontemporari.

KOLEKSI aksesori deko Inggeris klasik di rumah Naimah.
KOLEKSI aksesori deko Inggeris klasik di rumah Naimah.

“Jadi apabila kerja mengubah suai rumah ini dilakukan, saya ambil jalan tengah iaitu gabungkan kedua-dua elemen itu lalu ditempatkan di sudut atau ruang yang dirasakan bersesuaian dengan konsep atau tema yang dipilih,” katanya.

Mengenai pagar berkenaan, material digunakan ialah ‘simen box’ iaitu papan lapis tiruan kelihatan seperti papan lapis sebenar dalam menonjolkan tema Inggeris kontemporari.

Kelainan dalam konsep rumah terbaharu ini juga, kata Naimah, dia dan suami lebih berani bereksperimen dengan kombinasi warna bagi menyerlahkan ruang.

Kalau dulu gaya klasik Inggeris memang perabot dan aksesori sarat dalam rumah. Bagaimanapun, di kediaman baharu ini, Naimah mengambil kira keadaan semasa iaitu kedua-dua anaknya, berusia sembilan dan empat tahun sedang aktif. Jadi dia memperuntukkan ruang lebih lapang untuk mereka bebas bergerak.

PAGAR pancang putih membuatkan kediaman Naimah kelihatan seperti rumah bergaya Eropah.
PAGAR pancang putih membuatkan kediaman Naimah kelihatan seperti rumah bergaya Eropah.

“Rumah ini saya tekankan konsep lebih minimalis iaitu pengurangan penggunaan perabot dan penggunaan tona warna yang lembut termasuk hijau kebiruan dan merah jambu untuk menyerlahkan tema Inggeris lebih moden.

“Bimbang juga pada mulanya, sebab kedua-dua warna ini kontra. Tetapi apabila saya padankan menerusi kombinasi sofa berwarna hijau kebiruan dan langsir berwarna merah jambu lembut ia nampak ‘menjadi.’

“Tipnya, saya banyak guna warna putih kerana biasanya pada gaya Inggeris baik desa atau klasik, warna putih sangat penting,” katanya.

Antara lain yang menarik pada kediaman Naimah ialah ruang dapur basah yang menempatkan perabot kayu hasil kerja tangan suaminya.

“Pernah juga tetamu tanya mengenai perabot kayu iaitu rak dapur, pintu kabinet dan meja serta kerusi kayu suami hasilkan itu. Mereka tertarik kerana kemasan dan potongannya yang berbeza.

“Ruang lain yang menjadi tumpuan ialah anjung tempat bersantai keluarga. Baik bumbung hingga tiang menyokong struktur itu semuanya berwarna putih. Kalau adakan jamuan ringan, ruang berkenaan menyuntik ‘feel’ seolah-olah seperti berada dalam keraian terbuka di taman Inggeris,” katanya.

Menyentuh perancangan untuk melengkapkan keseluruhan gaya tata hias diidamkan pada kediamannya itu kata Naimah, dia dan suami merancang pembinaan kolam mandi selain taman ala Inggeris lengkap dengan perincian arca ala vintaj untuk landskap luar rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Oktober 2019 @ 10:03 AM