PENGGUNAAN resin epoksi sebagai kemasan untuk lebih tahan lasak.
PENGGUNAAN resin epoksi sebagai kemasan untuk lebih tahan lasak.
Zaitie Satibi


TUNGGUL kayu dan kayu hanyut yang bersepah di tepi jalan atau di kawasan pantai mahupun sungai sering dijadikan kraf hiasan kayu unik, menarik dan bermutu tinggi.

Kraftangan Malaysia turut mengiktiraf kraf berasaskan kayu mati ini kerana mempunyai nilai estetika tersendiri.

Malah, bahan yang lazimnya dianggap tidak bernilai dan dibuang begitu saja juga mampu memberi pendapatan lumayan jika dimanfaatkan sebaik mungkin dengan mempelbagaikan penghasilannya kepada produk kreatif.

Ia diukir semula mengikut kreativiti dan kebiasaannya diubah menjadi elemen hiasan taman serta dekorasi berciri tempatan yang unik lagi eksklusif. Penggunaan bahan tambahan seperti kepingan perak atau keluli meningkatkan nilai seni pada kraf kayu mati.

Sebagai lapisan perlindungan yang kuat, kraf kayu mati ini diberi kemasan seperti varnis, syelek, minyak atau lilin. Kemasan juga bertujuan memberikan penampilan yang menarik terutama untuk menimbulkan tekstur kayu.

Kraf kayu mati kini diberi nafas baharu apabila penggunaan resin epoksi sebagai kemasan untuk perlindungan tahan lasak diolah dengan cara yang kreatif sehingga ia menjadi produk hiasan elegan. Antara yang sedang popular adalah meja sungai atau dikenali sebagai ‘River Table’ dalam kalangan peminatnya.

Bagi seniman kraf kayu, Muhamad Hanafi Abu Bakar berkata, epoksi adalah sejenis pengikat yang sangat popular dalam bidang pembinaan dan kini digunakan secara meluas dalam bidang pembuatan perabot.

Menjelaskan lanjut berkenaan epoksi, ia adalah bahan kimia dalam kategori resin atau pelekat yang dihasilkan melalui proses polimerisasi daripada epoksida dan lazim digunakan sebagai bahan pelekat (adhesive) serta salutan (coating).

MUHAMAD HANAFI (kanan) bersama rakan yang juga seniman kraf kayu di bengkel pertukangan.
MUHAMAD HANAFI (kanan) bersama rakan yang juga seniman kraf kayu di bengkel pertukangan.

“Dalam penerapannya, epoksi dicampurkan dengan bahan pengeras (hardener) supaya mengubah sifat cair epoksi menjadi padat, semakin kuat, tahan terhadap suhu tinggi dan memiliki ketahanan terhadap reaksi kimia yang cukup tinggi.

“Proses membuat perabot dengan dekorasi menggunakan resin epoksi ini membabitkan salutan polimer ini dengan asas kayu. Ia juga boleh dijadikan kraf kayu yang mampu mencecah harga puluhan ribu ringgit terutama dalam kalangan pengumpul koleksinya kerana keunikannya,” katanya.

Resin epoksi juga banyak digunakan untuk membaiki kecacatan kayu seperti menampal permukaan kayu yang berongga atau tidak rata, di samping menyelamatkan kayu rosak dan mereput akibat cuaca atau sudah dimakan anai-anai.

Selain itu, resin epoksi yang bersifat kristal jernih juga digunakan sebagai salutan permukaan perabot seperti pada meja makan disebabkan cirinya yang kalis air dan minyak serta tidak meninggalkan kesan tumpahan makanan berkuah.

“Bagi pembuatan kraf untuk River Table misalnya, perabot ini menggunakan kepingan kayu buangan yang mempunyai lakaran imej unik terbentuk secara semula jadi pada kayu.

“Biasanya kayu mati terdapat corak seperti pusaran atau gegelang. Setiap kayu mati juga mempunyai corak berbeza dan mungkin ada yang menyerupai flora dan fauna.

“Sebatian resin epoksi yang dibancuh mengikut sukatan tertentu berdasarkan saiz perabot kemudian dicurah di bahagian tengah meja bagi membentuk corak aliran sungai. Resin epoksi akan mengeras dalam tempoh 12 hingga 24 jam mengikut suhu persekitaran.

BAHAN kemasan resin epoksi disukat mengikut nisbah. Objek kecil seperti kolam ikan diorama ditambah bagi kesan dramatik.
BAHAN kemasan resin epoksi disukat mengikut nisbah. Objek kecil seperti kolam ikan diorama ditambah bagi kesan dramatik.

“Disebabkan bahan ini tidak mempunyai warna dan kelihatan polos, pewarna mungkin ditambah bagi menimbulkan kesan dramatik pada ‘river table’. Lebih kreatif, ‘river table’ turut dihias objek kecil seperti binaan diorama yang bersesuaian,” katanya.

Muhamad Hanafi yang memulakan kraf kayu dengan resin epoksi sejak dua tahun lalu mempelajari pembuatannya menerusi rakaman video YouTube dari luar negara. River Table dikatakan lebih dulu popular di negara Eropah dan Amerika Syarikat.

“Saya menjadikan kraf kayu sebagai hobi bagi mengisi masa lapang terutama untuk kegiatan hujung minggu sejak 2016. Saya bermula dengan pembuatan perabot daripada kayu palet dan kebanyakannya dihasilkan secara suka-suka untuk kegunaan sendiri,” katanya.

Katanya, bagi mereka yang kreatif resin epoksi boleh dimanfaatkan untuk pelbagai tujuan selain perabot seperti perhiasan dan cenderamata.

“Rata-rata peminat River Table ini tertarik dengan keunikan corak semula jadi yang terbentuk pada kayu mati, di samping kreativiti hasil resin epoksi. Mereka tidak membeli River Table untuk dijadikan meja makan, sebaliknya ingin menikmati hasil seni kraf kayu berkenaan.

“Gabungan corak kayu mati dan dekorasi resin epoksi yang mempesonakan sehingga ada yang menjadikan River Table sebagai koleksi. Harganya juga bergantung kepada jenis kayu dan kuantiti resin epoksi digunakan mengikut saiz.

“Bagi menghasilkan salutan untuk permukaan meja yang tipis saja memerlukan kira-kira tiga kilogram (kg) resin epoksi, manakala meja makan untuk lapan kerusi pula memerlukan anggaran 30 hingga 40kg.

“Mereka yang ingin menghasilkan perabot dengan dekorasi resin epoksi juga memerlukan kemahiran dalam mengendalikan bahan ini kerana sebatiannya memerlukan sukatan betul, selain teknik untuk membuat lapisan pada perabot,” katanya.

Katanya, kurang ilmu boleh menyebabkan resin epoksi akan membentuk buih atau kayu menjadi hitam sehingga mencacatkan penampilan perabot, di samping berlaku pembaziran jika sukatan salah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Ogos 2019 @ 6:15 AM