Nilai keindahan tidak hanya terletak pada landskap dan seni bina semata-mata kerana keunikan Rumah Kampung The Jana turut berkait ­dengan penataan ruang dalamannya.

Ternyata lima unit resort yang dinamakan Seri Cempaka, Seri Melat, Seri ­Tanjung, Seri Kenanga dan Seri Melor itu lebih memukau apabila berlatarkan gaya hiasan dalaman menarik serta eksklusif.

Dari beranda hingga ruang tamu, perabot rotan dijadikan pilihan utama untuk tetamu berehat sambil bersantai.

Kemasan lantai kayu cukup menggambarkan aura desa yang jauh dari hiruk-pikuk kesibukan kota.

Bermula dengan ruang tamu, gaya hiasan ringkas yang sarat dengan perhiasan tradisional dikete­ngahkan.

Tidak hanya pada perabot rotan malah beberapa hiasan dinding seperti bingkai gambar dan kraf tudung saji.

Gambaran rumah desa dulu-dulu lebih dirasai apabila segenap ruang menawarkan visual dekorasi yang tidak terlalu padat.

Cukup sekadar set perabot yang diserikan ­dengan tikar mengkuang di ruang tamu.

Biasanya bersembang dan meraikan tetamu sambil duduk bersila lebih melengkapkan ciri-ciri budaya Melayu.

Seterusnya alang kayu yang menambahkan ­variasi keindahan tradisional pada ruang dalaman kelihatan eksklusif.

Reka letak lampu pula tetap diberi perhatian apabila tampil dengan rekaan klasik.

Pada masa sama kemasan jendela menambahkan ruang lebih privasi tanpa mengabaikan aspek pengaliran udara dan cahaya semula jadi.

Pilihan langsir ringkas, tidak sarat dengan motif dengan fabrik ringan menghiasi jendela.

Keadaan itu membenarkan cahaya matahari pagi masuk dan udara segar dinikmati sepanjang masa.

Pintu masuk bilik tidur pula digantung kraf tirai yang memukau dari segi corak dan materialnya.

Malah, keunikan dekorasi ciri tradisional turut dikekalkan pada bilik tidur.

Kehadiran katil kayu berhias tirai kelambu memberikan pengalaman luar biasa.

Begitu juga ruang dapur yang dibina ringkas sama dengan suasana tradisional.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 November 2014 @ 5:00 AM