KEPINGAN logam termasuk keluli ringan digunakan supaya tidak mudah berkarat, kalis api.
KEPINGAN logam termasuk keluli ringan digunakan supaya tidak mudah berkarat, kalis api.
Zaitie Satibi


VANDALISME bukanlah satu isu baharu di negara ini, malah ia kerap dibincangkan dalam media massa dari semasa ke semasa. Di mana-mana saja kita sering terserempak dengan harta benda awam mahupun milik persendirian yang dirosakkan pihak tidak bertanggungjawab.

Masalah vandalisme turut berlaku di tempat pelajar menimba ilmu seperti bangunan sekolah yang diconteng ataupun kerusi dan meja belajar sengaja dirosakkan sama ada dipatahkan atau dicalar.

Hal sebegini tidak terkecuali dihadapi pihak institusi pengajian tinggi apabila mendakwa kerugian puluhan ribu ringgit berikutan perbuatan ‘gatal tangan’ segelintir pelajar yang merosakkan perabot di asrama penginapan.

Pihak pengurusan terpaksa mengeluarkan belanja besar sama ada membaiki kerosakan atau menggantikan perabot baharu. Namun, masalah mungkin berulang jika masih tiada kesedaran dalam kalangan penghuni asrama untuk menghargai kemudahan ditawarkan.

Mengatasi masalah berkenaan, pereka dan pengasas Ideation Sdn Bhd, Zafri Zakaria Merican, tampil dengan rekaan perabot asrama antivandalisme yang secara asasnya terhasil daripada teknologi reka bentuk dan pembuatan perabot.

Menurut pereka yang berpengalaman dalam rekaan industri ini, beliau terlebih dulu melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D), di samping membuat pemeriksaan di asrama seluruh negara bagi melihat sendiri masalah utama.

“Saya bersama pasukan turut menjalankan kaji selidik dalam kalangan pelajar kerana mereka yang sering menggunakan kemudahan itu. Dalam setiap bilik di asrama, selain katil sebagai keperluan utama turut terdapat almari pakaian, meja belajar dan rak kasut.

ZAFRI bersama perabot antivandalisme di pameran Reka Malaysiaku di ibu negara.
ZAFRI bersama perabot antivandalisme di pameran Reka Malaysiaku di ibu negara.

“Didapati rata-rata perabot di asrama direka kurang menarik daripada segi bentuk mahupun warna berikutan ia dihasilkan oleh pengilang secara besar-besaran, sebaliknya tidak dibuat khusus untuk kegunaan pelajar.

“Disebabkan perabot tidak cantik, ia mewujudkan perasaan kurang menghargai dalam kalangan pelajar dan perabot itu diperlakukan sesuka hati, ditendang misalnya. Sudah menjadi lumrah manusia hanya menjaga barang atau menghargai sesuatu yang cantik saja,” katanya.

Zafri ditemui pada pameran Reka Malaysiaku anjuran Persatuan Pereka Perindustrian Malaysia (PEREKA) yang sedang berlangsung di Balai Seni Negara, Kuala Lumpur mulai 30 Julai lalu hingga 20 Oktober ini. Terdapat 20 pereka industri menunjukkan rekaan mereka sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-62.

Biarpun mengambil konsep inovasi yang membina sesuatu berasaskan produk sedia ada, rekaan Zafri menumpukan kepada penggunaan bahan yang bukan saja tahan lasak, malah reka bentuk menarik dengan cita rasa tempatan.

“Material utama untuk pembuatan perabot berkenaan adalah kepingan logam dikenali Electro Galvanized Sheet dan keluli ringan dengan kemasan salutan serbuk epoksi (powder coating). Ciri-ciri pembuatan perabot ini membantu jangka hayat perabot supaya tahan lebih lama.

MEJA belajar dengan laci serba guna. Kanan, almari tahan lasak tidak mudah kemek ditendang.
MEJA belajar dengan laci serba guna. Kanan, almari tahan lasak tidak mudah kemek ditendang.

“Malah, perabot juga tidak mudah berkarat, selain kalis api. Struktur tetulang di bahagian dalam juga membuatkan perabot tidak mudah kemek seandainya menerima hentakan keras seperti ditumbuk atau ditendang.

“Perabot rekaan saya juga tidak mempunyai bahagian bergerak seperti dipasang roda atau bebola besi untuk menarik keluar, sebaliknya ia boleh dilipat umpama origami sekali gus mengekalkan ketahanan material tidak mudah rosak,” katanya.

Perabot yang dihasilkan Zafri diiktiraf antaranya anugerah Malaysia Good Design Mark dari Majlis Rekabentuk Malaysia (MRM), selain pensijilan sudah diuji dari Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) bagi pihak Persatuan Penyelidik Industri Perabot (FIRA).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Ogos 2019 @ 5:30 AM