AHMAD Taufik gigih menyiapkan kaunter jurujual berasaskan kayu palet.
AHMAD Taufik gigih menyiapkan kaunter jurujual berasaskan kayu palet.

Kini penggunaan kayu palet makin meluas, khususnya dalam dekorasi dan binaan taman menarik serta mesra alam.

Menerusi material berkenaan, pelbagai rekaan dapat dihasilkan apatah lagi jika anda seorang yang kreatif.

Pengurus Jualan Home Decor Crafts Ahmad Taufik Zainal Abidin berkata, syarikat berkenaan banyak menerima permintaan untuk menghasilkan perabot kayu palet daripada kayu getah dan pain.

“Kedua-dua material ini antara yang popular dan masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri.

“Kayu pain terkenal dengan ketahanannya, begitu juga dengan kayu getah yang mampu menzahirkan gaya ‘old skool’ pada ruang tertentu,” katanya.

Malah, beberapa proses penghasilan perabot atau produk tertentu berasaskan material berkenaan yang dikongsikan Home Decor Crafts.

Material diperoleh daripada pelbagai sumber termasuk kilang, orang perseorangan atau kayu terpakai.

Bentuk asalnya dileraikan termasuk mencabut semua paku atau besi yang terdapat pada kayu itu.

Ukuran ketepatan kayu mula diambil untuk disesuaikan dengan rekaan baru diminta pelanggan.

“Proses seterusnya membabitkan pemasangan yang dibahagikan kepada beberapa jenis iaitu pemasangan menampakkan skru atau sebaliknya dan penggunaan paku untuk menyambung kepingan atau bahagian tertentu.

“Pemasangan table top atau kaunter meja pula biasanya memerlukan penggunaan pelekat.

“Bagi menyiapkan elemen utama ini, kabinet dapur ini lazimnya kayu pain menjadi pilihan utama.

“Mungkin disebabkan kayu itu sendiri yang tebal kira-kira 0.05 meter dan lebih kemas dan sesuai untuk table top,” katanya.

Ahmad Taufik berkata, apabila rekaan sudah siap dihasilkan, ia perlu digosok untuk kemasan.

“Ia sama ada digosok secara kasar hingga 50 peratus licin, menampakkan rekaan klasik atau gosok untuk benar-benar licin hingga memperlihatkan urat kayu,” katanya.

Apabila siap proses itu, baru disapukan warna pilihan, divarnis, campuran cat, cat biasa atau cat air.

“Malah, ada yang lebih gemar mewarnakan rekaan dengan warna ‘mati’ atau kekal,” katanya.

Tidak hanya menghasilkan rekaan untuk ruang kediaman, restoran atau taman semata-mata kerana keperluan kayu palet lebih daripada itu.

“Menjadi elemen utama sebagai latar dinding, pelamin dan perhiasan untuk majlis keramaian khususnya perkahwinan atau pertuna­ngan,” katanya.

Justeru, lapangkan waktu berkunjung ke Home Decor Crafts di No 10G, Jalan Putra Mahkota 7/6A, Tingkat Bawah, Seksyen 7, Putra Heights, Subang Jaya, Sela­ngor. Layari www.hdcsb.com untuk keterangan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mac 2016 @ 6:45 AM