MESKIPUN memasang rumput asli perlu menyelenggarakan dari masa ke masa tetapi ia lebih lestari.
MESKIPUN memasang rumput asli perlu menyelenggarakan dari masa ke masa tetapi ia lebih lestari.
Hafiz Ithnin


ASALNYA digunakan secara meluas untuk aktiviti sukan hoki, namun kini penggunaan rumput tiruan yang diperbuat daripada pelbagai jenis material semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat negara ini.

Bahkan, ada antara pemilik kediaman yang turut menggunakan rumput tiruan sebagai pengganti rumput semula jadi di bahagian tanah lapang di luar rumah kerana tidak mahu menguruskannya untuk jangka masa yang panjang.

Mengupas berkenaan isu itu, Dekan Fakulti Rekabentuk dan Senibina Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya LAr Dr Osman Mohd Tahir berkata, penggunaan rumput tiruan kini kian meluas apabila pemilik kediaman atau aset komersial berkeinginan untuk menonjolkan konsep ‘hijau’ dan kesegaran di dalam premis masing-masing.

LANTAI rumput tiruan melengkapkan konsep taman herba.
LANTAI rumput tiruan melengkapkan konsep taman herba.

“Bagaimanapun, penggunaan rumput tiruan pada hari ini bukan sahaja dipasang di dalam bangunan atau rumah malah di kawasan yang mempunyai tanah untuk menggantikan terus rumput asli.

“Langkah menempatkan rumput tiruan di kawasan bertanah juga perlu dilakukan dengan baik bagi memastikan rumput liar tidak mudah tumbuh di celah ruang plot rumput tiruan berkenaan,” katanya.

Menurutnya, bagi rumput tiruan, kebiasaannya pengguna akan meratakan tanah dengan meletakkan pasir dan menutupnya menggunakan satu lapisan membran seperti plastik berwarna hitam yang menyukarkan rumpai untuk tumbuh.

Dr Osman berkata, ketika ini terdapat banyak rumput tiruan yang mempunyai pelbagai teknologi seperti mampu menyerap air, tekstur yang lembut sama seperti rumput asli dan mampu bertahan antara lima hingga 10 tahun, bergantung kepada kualiti yang ditawarkan kepada pembeli.

Selain itu, beliau menambah, penggunaan rumput tiruan pada awalnya menelan belanja yang agak tinggi untuk kerja mewujudkannya dan harganya juga lebih mahal jika mempunyai kualiti yang bagus berbanding rumput asli.

“Bagaimanapun, perlu diingatkan penggunaan rumput tiruan sebenarnya boleh memberi kesan kepada suhu sekitarnya berbanding menanam rumput asli yang mampu menjadikan suhu lebih seimbang.

DR Osman
DR Osman

“Perkara ini berlaku kerana rumput tiruan akan meningkatkan suhu sekitarnya sekiranya terkena cahaya matahari yang berpanjangan. Sifatnya yang tidak asli menjadikannya mudah panas, sekali gus memberi kesan kepada suhu sekitarnya,” katanya.

Ujarnya, meskipun penggunaan rumput tiruan dapat mengurangkan kerja menyelenggara kawasan bertanah di luar premis dengan mudah namun ia mampu memberi kesan yang tidak baik kepada kelestarian alam semula jadi sekiranya semua pemilik melakukan aktiviti itu.

“Sebaiknya bagi yang mempunyai kawasan bertanah, mereka perlu menanam rumput asli yang kini terdapat pelbagai jenis dan ada juga mudah diurus.

“Meskipun rumput asli tidak memerlukan lebih penyelenggaraan, kita juga perlu peka kepada alam semula jadi. Bermakna dengan menanam lebih banyak tumbuhan, ia akan menyumbang kepada oksigen yang diperlukan manusia.

PENGGUNAAN rumput tiruan pada hari ini bukan sahaja dipasang di dalam bangunan atau rumah malah di kawasan yang mempunyai tanah untuk menggantikan terus rumput asli. GAMBAR hiasan
PENGGUNAAN rumput tiruan pada hari ini bukan sahaja dipasang di dalam bangunan atau rumah malah di kawasan yang mempunyai tanah untuk menggantikan terus rumput asli. GAMBAR hiasan

“Dalam erti kata lain, penggunaan rumput tiruan tidak sesuai ditanam di kawasan luar yang mempunyai tanah. Ia sesuai digunakan untuk menjadikan kawasan di dalam premis yang mampu menaikkan suasana mesra alam,” katanya.

Pakar itu berkata, jika di kawasan perumahan strata memasang rumput palsu di kawasan balkoni dilihat baik kerana boleh mengindahkan kawasan kediaman yang tidak mempunyai pilihan untuk bercucuk tanam berbanding rumah teres.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Jun 2019 @ 5:01 AM