FASAD utama miliki konsep kelopak bunga.
FASAD utama miliki konsep kelopak bunga.
Susunan Aniza Zainudin

CHANGSHA bakal menjadi tumpuan dunia apabila fasad kebudayaan terbaharu, Changsha Meixihu International Culture and Art Centre dijangka disempurna tahun ini.

Struktur bangunan yang sepenuhnya menggunakan rona putih sebagai warna konsep utama kelihatan begitu indah, bersesuaian dengan lokasi pembinaannya di pesisiran Tasik Meixi.

Kompleks kebudayaan yang memiliki keluasan 115,000 meter per segi ini terletak di Changsha yang juga ibu kota wilayah Hunan, China.

Direka firma tersohor dunia, Zaha Hadid Architects, projek pembinaan Changsha Meixihu International Culture and Art Centre ini dimulakan sejak Oktober 2013.

Dilengkapi teater, muzium seni kontemporari dan dewan serbaguna dalam tiga bangunan berbentuk kelopak bunga yang memberi ilusi berlapis-lapis.

Memanfaatkan nilai fungsi, elegan dan inovasi rekaan, bangunan unik ini disifatkan bakal menjadi satu daripada tarikan budaya serta titik pertemuan masyarakat terbaru di bandar berkenaan.

Malah, tidak keterlaluan jika ia turut disenaraikan sebagai destinasi budaya global kelak.

Zaha Hadid Architects memenangi projek pada 2011 ini juga membina dua jambatan pejalan kaki sebagai akses menghubungkan pengunjung fasad ini dengan pulau kecil berhampiran, Festival Island.

Menurut pihak Zaha Hadid Architects, rekaan fasad budaya ini unik dan 'terasing' namun fungsinya saling melengkapi antara struktur daripada pelbagai aspek.

Binaan ini juga menawarkan keunikan pengalaman berbeza kepada pengunjung apabila struktur berbentuk kelopak mengelilingi antara satu sama lain, seterusnya mewujudkan plaza pusat di bahagian tengah dan siri laluan teres berumput.

Foto terbaru menunjukkan struktur luaran kompleks kebudayaan ini sudah siap dengan paparan warna konsep putih, ciri 'kelembutan' rekaan fasad bersama panel kaca melengkung.

Tumpuan utama Changsha Meixihu International Culture and Art Centre pastinya terletak pada fungsi The Grand Theatre yang bakal menjadi lokasi persembahan terbesar di bandar berkenaan apabila ia memuatkan kapasiti sehingga 1,800 orang.

Teater ini turut dilengkapi pelbagai fungsi diperlukan bagi manfaat pengunjung termasuk lobi, bilik menggantung kot, bar, restoran, kemudahan VIP dan bilik latihan serta fasiliti belakang tabir.

Binaan teater kecil pula direka menggunakan konsep fleksibel dan ia boleh memuatkan pengunjung dalam bilangan tertentu dengan kapasiti maksimum 500 tempat duduk.

Selain itu, halaman fasad ini bakal dipenuhi deretan restoran dan kedai.

Struktur binaan terakhir pula, The Museum berada di pinggir Jalan Meixihu mempunyai atrium di bahagian tengah bagi membentuk tiga kelopak atau sayap, sekali gus mempamerkan kelainan rekaan.

Difahamkan, rekaan Changsha Meixihu International Culture and Art Centre ini diilhamkan dengan ‘menghubungkan keunikan lokasi bersama keindahan alam semula jadi di persekitarannya.’

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mei 2019 @ 6:00 AM