BUAT perancangan teliti sebelum memulakan kerja pembersihan.
BUAT perancangan teliti sebelum memulakan kerja pembersihan.
Faizal Zain

Salam deko kepada semua. Bertemu lagi kali ini untuk menyambung perbincangan kita berkenaan tip mudah untuk menguruskan penyelenggaraan dan pembersihan rumah. Sepanjang cuti sekolah ini, mengajak anak-anak turut serta dalam aktiviti membersihkan rumah antara amalan yang digalakkan. Tidak hanya dalam rumah, malah aktiviti berkebun juga sesuai bagi mengisi kelapangan waktu anak anda selain mendekatkan mereka dengan alam semula jadi.

Mungkin tip berikut boleh anda lakukan sambil mendapatkan bantuan anak-anak:

Lakukan banyak perkara dalam satu masa

Aturkan dan susun waktu untuk membuat beberapa kerja dalam satu masa.

Misalnya jika anda membasuh pakaian menggunakan mesin basuh, pada masa sama lakukan rutin mengemas seperti biasa termasuk menyapu, membersihkan ruang dapur dan menyelenggara habuk pada perabot atau aksesori hiasan. Tugasan ringan juga sangat sesuai dilakukan anak-anak anda.

Pembersihan berperingkat

Kerja penyelenggaraan dan pembersihan ruang dalaman lebih praktikal jika dilakukan secara berperingkat.

Kediaman jenis teres umpamanya, mulakan dengan tingkat paling atas terlebih dulu kemudian diikuti paras lebih rendah hingga ruang tamu dan dapur.

MULAKAN dengan tingkat paling atas.
MULAKAN dengan tingkat paling atas.

Bantuan teknologi

Selain penggunaan mesin basuh, penyedut hampagas dan mesin membasuh pinggan antara yang sering kita gunakan dalam kerja pembersihan rumah.

Tentunya peralatan ini lebih menjimatkan masa dan tenaga. Justeru, manfaatkan kecanggihan teknologi hari ini untuk kemudahan anda seisi keluarga. Banyak lagi tip yang bakal saya kongsikan minggu depan. Teruskan setia bersama Inspirasi Deko!

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Disember 2017 @ 12:00 AM