NUR BAIZURA kongsi 9 tip untuk jadi ibu dan isteri hebat
NUR BAIZURA kongsi 9 tip untuk jadi ibu dan isteri hebat
Oleh Hayati Ibrahim


JIKA ditanya kepada setiap wanita bergelar isteri atau ibu apa yang mereka inginkan dalam kehidupan, jawapannya pasti ‘menjadi seorang isteri dan ibu yang hebat untuk suami serta anak’ selain keluarga yang bahagia. Namun, dalam suasana kehidupan masa kini yang serba mencabar, ditambah pula tekanan di tempat kerja, adakah ia mustahil untuk dicapai?

Sebenarnya konsep wanita hebat ini sangat luas dan bergantung kepada situasi masing-masing. Bagi Pengasas Kumpulan Mak-Mak Gaya Moden (MMGM), Nur Baizura A Bakar, 38, tafsiran wanita hebat adalah mereka yang dapat mengawal emosi, mewujudkan suasana tenang di rumah, setiap rutin harian dapat diselesaikan dan menyediakan semua keperluan suami dan anak.

Namun, tidak mudah mencapai semua itu dengan kekangan masa terutama mereka yang bekerja. Kunci utama kepada semua ini terletak pada wanita itu sendiri, yang penting perlu bijak menguruskan masa selaras kerja ingin dilakukan.

Nur Baizura yang mengajar subjek Asas Sains Komputer di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Haji Mohd Said, Kuala Terengganu dan mempunyai tujuh cahaya mata berkongsi sembilan tip untuk menjadi ibu dan isteri hebat.

1. Sentiasa fokus

Letakkan sasaran apakah pengakhiran kerja yang sedang dilakukan. Contohnya, masak untuk makan malam. Kita kena pastikan semua bahan disiapkan dan terus memasak, bukan buat perkara lain yang bukan dalam perancangan.

“Paling baik buat senarai, sebelum tidur tulis 10 perkara yang ingin dilakukan esok termasuk menu, pakaian yang ingin dipakai, bahagian rumah hendak dibersihkan dan tugas berkaitan pekerjaan.

“Keesokannya kita buat kerja berdasarkan senarai itu. Jika tidak dapat semua, buat sekurang-kurangnya tiga tugasan. Kerja yang belum siap dibawa ke hari berikutnya. Apabila ada perancangan secara automatik fokus kita tidak lari,” katanya.

2. Belajar buat kerja dengan cepat

“Lupakan seketika apa sedang difikirkan, termasuk telefon, pelanggan atau apa saja yang boleh mengganggu fikiran. Ubah tetapan telefon ke mod penerbangan untuk kita mendapat masa berkualiti.

“Kaedah ini boleh membantu kita lebih fokus dan kerja dapat disiapkan lebih cepat kerana gangguan sudah dipadamkan,” katanya.

3. Mampu buat beberapa kerja dalam satu masa tanpa bergantung kepada orang lain

Lakukan beberapa aktiviti serentak untuk menjadi yang proaktif. Ketika memasak, kita boleh membasuh pakaian atau cuci pinggan mangkuk.

“Ketika mandi pula boleh cuci dinding atau lantai bilik mandi, jadi dua atau tiga kerja boleh disiapkan serentak. Kaedah ini menjimatkan masa dan tenaga, malah ibu pun kurang penat,” katanya.

SUASANA rumah yang kemas dan bersih.
SUASANA rumah yang kemas dan bersih.

4. Anak bukan tuan kepada ibu bapanya

Jadi, kerjasama daripada ahli keluarga termasuk anak perlu dijadikan rutin harian. Anak perlu dididik dari kecil untuk berkongsi tanggungjawab di rumah dan membantu mengurangkan beban ibu bapa. Pada masa sama, kita latih mereka untuk belajar berdikari.

“Sebagai ibu, kena bijak bahagikan tugas antara ahli keluarga. Semua kerja dalam rumah boleh dilakukan oleh semua dan bukan tugas ibu semata-mata.

“Ibu juga perlu bijak memikat suami dan anak untuk sama-sama lakukan kerja rumah. Jadi, ibu akan mempunyai lebih masa untuk diluangkan bersama keluarga,” katanya.

5. Gunakan peralatan terkini untuk membantu ‘perjuangan’ di dapur

Ia bukan saja menjimatkan masa dan tenaga, tetapi kerja dapat dilakukan dilakukan lebih cekap.

Katanya, penggunaan peralatan elektrik seperti periuk tekanan tinggi, periuk penggoreng tanpa minyak, mesin basuh automatik, pengering baju, seterika berwap dan vakum robot sangat membantu kerja rumah siap lebih cepat.Jadi, jangan lokek melabur untuk membeli gajet untuk membantu menguruskan rumah tangga. Memang tidak dapat dinafikan harga setiap peralatan ini mahal, tetapi kita boleh menabung bagi tujuan itu.

6. Jangan bertangguh

Setiap kali menangguhkan satu tugasan, ia akan menggandakan lagi tugasan sedia ada, jadi kehidupan kita boleh jadi huru-hara.

“Jika berjaya buat senarai seperti dalam tip pertama, isu tertangguh tidak akan wujud dalam kehidupan harian,” katanya.

SENARAIKAN tugasan harian dan mingguan yang ingin dilakukan.
SENARAIKAN tugasan harian dan mingguan yang ingin dilakukan.

7. Tambah ilmu

Ilmu amat penting dan menjadi pengukur dalam kehidupan kerana kita dapat menentukan sesuatu perkara itu sama ada baik atau sebaliknya.

“Kita perlu rajin membaca dan terokai ilmu baharu untuk memperbaharui pengetahuan sedia ada. Ilmu itu luas, jadi terokailah ilmu yang boleh membantu untuk tambah nilai cara mengurus emosi, kerjaya, kewangan dan ilmu keibubapaan,” katanya.

8. Tetapkan keutamaan diri sebagai wanita

Keutamaan sendiri juga perlu ditetapkan, terutama untuk membantu meningkatkan produktiviti. Kata Nur Baizura, senaraikan mengikut kategori dengan mendahulukan perkara penting terlebih dahulu, dan melakukan perkara kurang penting di kemudian hari.

“Melalui cara ini, kita tidak terkejar-kejar membuat sesuatu kerja. Simpan senarai ini dalam aplikasi telefon, buku perancangan atau tampal nota di tempat yang mudah dilihat,” katanya.

9. Sayangi diri sendiri

Wanita perlu menyayangi diri sendiri dengan menjaga kesihatan, kebersihan dan penampilan.

“Apabila ibu sihat dan tenang, auranya juga akan dirasai oleh anak dan suami. Bagi memastikan kesihatan sentiasa baik, mereka boleh mengamalkan makan dengan teratur dan seimbang.

“Tidak salah juga untuk ibu mengambil makanan tambahan bagi memastikan kecergasan dan badan bertenaga. Jika diri sendiri terabai bagaimana ingin menjaga orang lain,” tegasnya.

Katanya, memang diakui seorang ibu ingin melakukan semua perkara, tetapi biarlah berpada-pada.

“Selepas melakukan semua tip yang disyorkan, insya-Allah masalah pengurusan rumah tangga dapat diselesaikan. Jalan terakhir adalah mohon kepada Allah supaya diberi keberkatan waktu dan rezeki sepanjang hidup kita. Ikhlas dalam melakukan tanggung jawab kepada keluarga juga adalah ibadat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Oktober 2019 @ 5:15 AM